My Add

Monday 5 December 2011

BN Kedah perlu sedikit masa

KODIANG, ISNIN 05 Disember, 2011: BARISAN Nasional (BN) Kedah ketika ini mampu mentadbir negeri ini dengan cemerlang jika diberi peluang oleh rakyat untuk menerajui pemerintahan kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kepimpinan parti itu sudah bersiap sedia untuk membawa kecemerlangan dan lebih banyak kemajuan di negeri ini demi kesenangan penduduk.

Bagaimanapun, kata beliau, BN Kedah memerlukan sedikit masa lagi bagi mencapai potensi maksimum.

"Kita memang siap sedia, pada masa sama sudah tentu masih ada ruang untuk ditambah baik. Itu sebabnya kita memerlukan sedikit masa lagi.

"Kalau panggil PRU terlalu awal, peluang itu tetap cerah tetapi mungkin tidak sebaik yang kita hendakkan. Kalau nak capai potensi maksimum, kita perlukan mungkin beberapa bulan lagi," katanya selepas merasmikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di tapak pasar sehari pekan Padang Sera, dekat sini semalam.

Beliau ditanya mengenai dakwaan segelintir pihak kononnya pasukan BN Kedah tidak cukup kuat untuk mentadbir negeri ini jika berjaya merampas pentadbiran negeri daripada pakatan pembangkang pada PRU13.

Menurut Mukhriz, semangat kesatuan pemimpin BN dan UMNO berada pada tahap tertinggi lebih-lebih lagi selepas Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir semalam.

"Ia juga termasuk termasuk kesanggupan mereka untuk berkorban semata-mata untuk memastikan kemenagan parti," katanya.

Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan kononnya BN Kedah ketandusan pemimpin muda yang memiliki keterampilan dan karisma kerana beliau telah melihat banyak bakat kepimpinan termasuk bakat terpendam dari serata negeri yang sebelum ini tidak ditonjolkan.

"Saya harap dengan gesaan dan saranan pemimpin-pemimpin kita semasa Perhimpunan Agung UMNO, maka kita di semua peringkat dapat menerima bakat-bakat ini jika diputuskan sebagai calon kita," katanya. - UM

No comments:

Post a Comment