My Add

Wednesday 7 December 2011

Cubaan pembangkang burukkan KR1M gagal

KUALA LUMPUR, RABU, 07 Disember, 2011:
 CUBAAN pembangkang yang mahu memburuk-burukkan produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dilihat tidak mampu menggugat kepercayaan rakyat kepada jenama berkenaan.

Sambil menempelak taktik kotor itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia terbukti apabila KR1M menunjukkan peningkatan jualan sebanyak 15 peratus sejak isu tersebut hangat diperkatakan.

"Ini membuktikan bahawa KRIM masih menjadi pilihan rakyat meskipun pelbagai tuduhan dilemparkan oleh pembangkang.

"Justeru, ia jelas menunjukkan rakyat masih percaya dengan kualiti dan produk yang dijual di kedai itu, sekali gus menggambarkan sokongan rakyat terhadap KR1M," katanya pada sidang akhbar mengenai status penarikan balik 13 produk KR1M di sini, semalam.

Turut hadir timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe dan Pengarah Urusan Mydin Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin.

Menurut Ismail Sabri, sebahagian produk yang ditarik balik tidak membabitkan isu keselamatan atau kebersihan, malah lebih kepada kesalahan pelabelan makanan.

"Isu penarikan balik produk makanan merupakan perkara biasa yang berlaku ke atas mana-mana kedai yang menjual produk makanan dan pihak kami juga tidak berkompromi tentang kualiti makanan.

"Justeru, kita mengarahkan syarikat pembekal produk terbabit untuk menukar label sebagai usaha mematuhi piawaian yang ditetapkan Kementerian Kesihatan," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan dua daripada 13 produk yang ditarik balik akan mula dipasarkan secepat mungkin dan produk tersebut ialah krimer sejat dan ikan sardin dalam sos tomato.

Kedua-dua produk tersebut ditukar label serta komposisi isi kandungan bersih bagi memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Di samping itu, beliau memberitahu, kementerian akan menubuhkan unit pemantauan khas bagi memantau produk makanan yang dijual di semua premis seluruh negara agar menepati piawaian digariskan. - UM

No comments:

Post a Comment