My Add

Wednesday 7 December 2011

PBZT Bank Islam naik 41.7% kepada RM341.9 juta

KUALA LUMPUR, RABU, 07 Disember, 2011:
KEUNTUNGAN pracukai dan zakat (PBZT) Bank Islam Malaysia Bhd untuk sembilan bulan berakhir 30 September, 2011 naik 41.7 peratus kepada RM341.9 juta.

Jumlah pendapatan menokok 12.1 peratus kepada RM1.2 bilion walaupun dengan kadar pengembangan yang perlahan iaitu 9.4 peratus untuk pendapatan berasaskan dana berbanding tempoh yang sama tahun lepas, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah urusannya, Datuk Seri Zukri Samat mengaitkan PBZT yang tinggi kepada pertumbuhan pembiayaan yang rancak, produk bercampur yang lebih baik, peningkatan berterusan dalam kualiti aset, sumbangan yang kian meningkat daripada pendapatan berasaskan bukan dana dan pelaksanaan langkah-langkah untuk pembendungan kos.

Pulangan kasar ke atas ekuiti Bank Islam setakat akhir September 2011 ialah pada 17.3 peratus (akhir Disember 2010: 16.5 peratus) dan pulangan kasar ke atas aset setakat akhir September 2011 ialah 1.5 peratus (akhir Disember 2010: 1.2 peratus).

Pembiayaan bersih mengembang 14.9 peratus kepada RM13.3 bilion setakat pada akhir September daripada RM11.9 bilion pada akhir Disember 2010. – Bernama

No comments:

Post a Comment