My Add

Thursday 8 December 2011

DRB-HICOM, Saab meterai perjanjian bekal sistem AEWC

LANGKAWI, KHAMIS, 08 Disembr, 2011: 
DRB-Hicom hari ini memeterai Perjanjian Kerjasama Perindustrian dengan Saab AB dari Sweden untuk bekerjasama membekalkan sistem Kawalan dan Amaran Awal Dalam Penerbangan (AEWC) bagi Tentera Udara Diraja Malaysia. 

Memorandum persefahaman (MoU) antara DRB-Hicom dan Saab akan termasuk pindahan teknologi, pekerjaan dan kepakaran ke Malaysia.

Penyepaduan "Eyerie Radar" Saab dan penggabungan "Eye in the Sky" akan menyediakan hubungan data penting kepada Tentera Laut Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

"Sistem AEWC akan membolehkan kerajaan meningkatkan keselamatan ruang udara dan maritim bagi mengesan, menjejak dan memantau kawasan perairan dan antarabangsanya untuk memerangi lanun, penyeludupan, penangkapan ikan secara haram dan keganasan dalam dan sekitar sempadan Malaysia," menurut DRB-Hicom dalam satu kenyataan. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyaksikan pemeteraian perjanjian itu di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri. 

Perjanjian itu dimeterai wakil DRB Hicom, Abdul Harith Abdullah dan Naib Presiden Kanan dan Ketua Keselamatan Bahagian Perniagaan dan Penyelesaian Pertahanan Saab, Gunilla Fransson. 

Menurut DRB Hicom, program itu juga akan membantu Malaysia mencapai matlamat keselamatannya dan memberi contoh kerjasama dua hala dengan negara-negara jiran. 

"Perkongsian antara kedua-dua syarikat ini adalah berasaskan kepada pengalaman luas, kekuatan dan keupayaan kedua-dua syarikat dalam menyokong program pertahanan kerajaan dengan penyelesaian yang akan meningkatkan keupayaan operasi Malaysia. 

"DRB-Hicom akan memastikan pembabitan tempatan dalam keseluruhan kitaran projek bermula daripada pengeluaran kepada pengujian dan akhirnya untuk menyokong operasi AEWC," menurut syarikat itu. 

Kerjasama diperkukuh dalam perjanjian antara kedua-dua syarikat ini adalah langkah utama ke arah menaik taraf teknologi penerbangan pertahanan Malaysia dan keupayaan khususnya dalam penyepaduan sistem aeronautik dan bahagian kawalan dan arahan. 

"Kolaborasi ini juga akan memantapkan kepakaran sedia ada dari segi kompetensi dalam pengurusan projek, kejuruteraan sistem serta pengurusan rantaian bekalan," menurut syarikat itu. 

Sementara itu, Fransson berkata dengan perjanjian ini, Saab mengukuhkan lagi komitmen jangka panjangnya kepada pasaran keselamatan awam dan pertahanan Malaysia. 

"Saya gembira hari ini kami merasmikan hubungan kami yang sudah lama terjalin," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment