My Add

Sunday 25 December 2011

Dua MPP sangkal bantah AUKU

KUALA LUMPUR, AHAD,  25 Disember, 2011: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyifatkan persatuan yang terlibat membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebenarnya tidak mendapat sokongan pelajar di seluruh negara.

Presiden MPP USM, Muhammad Idzuan Jamaluddin berkata, persatuan tersebut sebenarnya tidak pernah melakukan kajian ke atas mahasiswa mengenai AUKU tetapi terus menggunakan nama 'mahasiswa' sebagai alat untuk menggerakkan persatuan mereka.

"Kenyataan persatuan terbabit yang mendakwa mereka mendapat sokongan pelajar sebenarnya tidak benar kerana kami sebagai MPP sendiri yang sentiasa mendengar keluhan siswa dan siswi.

"Sudah jelas mereka sebenarnya tidak memperjuangkan hak mahasiswa, sebaliknya memperjuangkan hak peribadi sebagai mahasiswa yang membantah kewujudan AUKU.

"Ini juga menunjukkan persatuan tersebut didukung pihak tertentu yang mempunyai agenda politik kerana mahu AUKU dimansuhkan," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Muhammad Idzuan mengulas kenyataan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) yang membantah AUKU dan mendakwa mereka mendapat sokongan mahasiswa seluruh negara.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Idzuan turut mencabar supaya persatuan terbabit menunjukkan bukti bahawa mereka mendapat sokongan mahasiswa seluruh negara dan bukan hanya sekadar membuat kenyataan sahaja.

Sementara itu, Presiden MPP UMS, Khalil Sabu turut menyifatkan kenyataan persatuan yang membantah AUKU tersebut mendapat sokongan mahasiswa adalah tidak berasas sama sekali.

"Saya meminta supaya mahasiswa fikir sama ada apa yang diperjuangkan mereka sebenarnya adalah perjuangan untuk mahasiswa atau perjuangan bersifat peribadi yang disokong pihak luar?

"Bagi saya, apa yang diperjuangkan mereka ini bersifat peribadi kerana dengan jelas, mereka mendapat sokongan pihak luar yang mempunyai kepentingan tertentu yang akhirnya memberi kesan buruk kepada mahasiswa," katanya. - MM

No comments:

Post a Comment