My Add

Sunday 25 December 2011

Suami berisiko HIV patut gunakan kondom

KOTA BHARU, AHAD, 25 Disember, 2011: Para suami yang mengetahui diri mereka terdedah kepada risiko jangkitan HIV akibat seks dengan pelacur di sempadan ataupun berkongsi jarum suntikan dadah diminta memakai kondom semasa membuat hubungan kelamin dengan isteri.

Presiden Majlis Aids Malaysia, Tan Sri Mohd. Zaman Khan berkata, adalah penting untuk mereka berbuat demikian demi mengelak risiko jangkitan HIV kepada isteri dan anak yang mungkin dikandung.

Menurutnya, statistik terkini menunjukkan wanita menjadi kumpulan sasar utama yang terdedah kepada jangkitan HIV apabila ia meningkat daripada 1.2 peratus pada 1990, 9.4 peratus (2000) kepada 18.3 peratus pada 2010.

Katanya, Kelantan yang diketahui umum sebagai negeri 'johan' dalam penularan virus itu pula menyaksikan lebih 90 peratus daripada wanitanya yang dijangkiti HIV mendapat virus tersebut melalui hubungan seksual.

"Sehingga bulan Disember 2009, Kelantan mempunyai 9,891 pesakit HIV positif yang didaftarkan, manakala 462 kes baru pula telah dicatat sepanjang tahun lalu.

"Daripada 462 kes baru HIV di negeri ini tahun lalu, 75 kes adalah wanita dengan 90 peratus mendapat HIV akibat hubungan seksual sama ada dengan pasangan yang sah atau tidak.

"Majoriti daripada mereka adalah ibu dan suri rumah yang taat kepada suami walaupun pasangan mereka mengamalkan aktiviti berisiko seperti seks bebas dan berkongsi jarum suntikan dadah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Memperkasakan Wanita Menangani HIV dan AIDS peringkat negeri di sebuah hotel di sini kelmarin.

Mohd. Zaman berkata, seorang lelaki yang mengamalkan gaya hidup berisiko perlu memakai kondom kerana jika menjalani pemeriksaan kesihatan sekalipun, dia tidak mungkin mendapat keputusan segera sama ada dijangkiti atau tidak disebabkan virus HIV mengambil masa sebelum menampakkan kehadirannya dalam sistem badan manusia.

"Pakailah kondom dan jangan buat aniaya kepada isteri, lebih-lebih lagi jika anda sah mendapat HIV. Bersikaplah jujur dan beritahu isteri kerana jika mengandung, dia dapat mencari rawatan segera untuk mengelak jangkitan kepada bayi dalam kandungan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada tahun lalu jumlah kematian akibat HIV dan AIDS mencatat bilangan 904 orang di seluruh negara dengan angka tertinggi di Kelantan sebanyak 156 kes, Selangor 144 kes dan Pahang 96 kes.

Menurutnya, dari tahun 1986 hingga 2010 sebanyak 91,362 kes HIV positif telah dilaporkan di seluruh negara dan daripada jumlah ini, sebanyak 14,298 nyawa sudah terkorban. - MM

No comments:

Post a Comment