My Add

Tuesday 6 December 2011

Empat bot pemintas tingkatkan operasi APMM


MUHYIDDIN Yassin dan Timbalan Menteri Pertahanan Turki, Kemal Yardimci (dua dari kiri) menyaksikan simbolik penyerahan bot ONUK MRTP16 oleh Md. Yassin Mustaffa kepada Mohd. Amdan Kurish (kiri) di Langkawi, semalam.




LANGKAWI, SELASA, 06 Disember,2011: 
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kini memiliki empat bot pemintas laju ONUK MRTP16 daripada 10 bot pemintas yang telah diserahkan kontrak pembinaannya kepada syarikat BYO Marine Sdn Bhd.

Majlis penyerahan dan pelancaran bot pemintas yang dinamakan PENGGALANG 10, 11, 12 dan 13 itu hari ini disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Limbungan BYO Marine di sini.

Kerajaan Malaysia telah menandatangani kontrak perolehan 10 bot pemintas laju ONUK MRTP16 dengan BYO Marine pada 18 Feb lepas di mana tiga bot pemintas laju diserahkan pada Jun, Ogos dan November lalu dan satu lagi hari ini.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Datuk Mohd. Amdan Kurish berkata bot-bot yang telah diterima itu, dua daripadanya dibuat di Turki manakala dua lagi di sini.

''Ada enam lagi belum diterima dan dijangka siap Jun tahun depan. Bot ini akan mempertingkatkan lagi keupayaan kita dalam menjalankan operasi," katanya selepas majlis pelancaran dan penyerahan rasmi bot pemintas laju Onuk MRTP16 itu.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan, Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Heavy Industries Corporation Bhd. Tan Sri Ahmad Ramli Mohd. Nor, Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holding Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, Timbalan Pengerusi Yonca-Onuk JV Raja Mohamed Mustafa dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Md. Yassin Mustaffa — BERNAMA

No comments:

Post a Comment