My Add

Tuesday 6 December 2011

Pekida dukung 1Malaysia

SHAH ALAM, SELASA, 06 Disember, 2011:
PERTUBUHAM Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) memuji gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menganggapnya sebagai satu idea bijak dan berpandangan jauh.

Presidennya, Jamaludin Yusof berkata, penyatuan rakyat berbilang kaum di negara ini melalui pelaksanaan gagasan 1Malaysia diyakini mampu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berdaya saing.

“Gagasan 1Malaysia merupakan satu tindakan bijak dan berpandangan jauh untuk penubuhan sebuah negara bangsa.

“Ia dapat memastikan semua rakyat tidak kira bangsa dan keturunan mempunyai perasaan tanggungjawab untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berjaya selain mampu bersaing dengan negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Perdana Pekida: Sepetang Bersama Perdana Menteri di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Jamaludin turut berikrar bahawa Pekida akan terus menyokong dasar-dasar kerajaan di bawah pemerintahan Perdana Menteri dan akan terus memastikan kuasa politik terus kekal dikuasai orang Melayu.

“Sekiranya kita (Melayu) tidak dapat menguasai politik negara, bagaimana untuk kita memantapkan agama Islam, menguasai semula ekonomi serta membina semula orang Melayu yang mampu berjaya dalam semua bidang sekali gus menjadikannya sebagai bangsa bermaruah.

“Untuk itu, kita semua perlu mengetepikan ideologi politik dan menumpukan kepada agenda mengekalkan kuasa Melayu dalam kebangkitan politik yang berterusan,” katanya.

Beliau juga menyeru kira-kira dua juta ahli Pekida di seluruh negara supaya mengamalkan sikap bertanggungjawab serta bertolak-ansur supaya dihormati oleh masyarakat dan bukannya ditakuti dan digeruni. - UM

No comments:

Post a Comment