My Add

Tuesday 6 December 2011

Fahami maksud sebenar Hudud

KUALA LUMPUR, SELASA, 06 Disember, 2011: 
PAS perlu memahami maksud sebenar hudud bagi mengelakkan tafsiran mereka mengenai hukum itu berlainan daripada yang disebut dalam al-Quran dan sunah.

Felo Pusat Kajian Islam Oxford (OCIS) Universiti Oxford, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, orang Islam pada dasarnya memang tidak boleh menafikan hukum-hakam yang disebut dalam al-Quran, tetapi harus diketahui bahawa terdapat batas-batas dalam mentafsirkannya.

Ini kerana, katanya, apabila manusia mentafsir hukum-hakam dalam al-Quran, dikhuatiri tidak sama dengan maksud yang terkandung dalam kitab suci itu, lapor NORMAIRAH JAMALUDDIN.

"Sebagai contoh, hudud yang dilaksanakan di Pakistan dan Somalia telah mengundang banyak kritikan daripada pelbagai pihak.

"Ia bukan disebabkan menolak al-Quran dan sunah, tetapi menolak tafsiran hudud yang dibuat oleh mereka yang tidak sesuai dilaksanakan pada zaman ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya semalam mengenai doktrin yang ditanam oleh Pas telah menyebabkan masyarakat awam termasuk orang bukan Islam sering mengaitkan hukum Islam dengan pelaksanaan hukum hudud sedangkan ia turut mengandungi hukum takzir dan qisas.

Sementara itu, Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya berkata, jika mahu hudud dilaksanakan di negara ini, semua pihak termasuk Pas perlu membuat forum terbuka bagi memberi pemahaman sebenar tentang hudud kepada masyarakat.

"Forum tersebut perlu memperkatakan tentang ajaran Islam yang menyeluruh supaya masyarakat benar-benar faham apa itu hudud kerana hukum itu termasuk dalam bahagian agama.

"Selain itu, orang bukan Islam juga perlu diberi pendedahan tentang tujuan sebenar pelaksanaan hudud. Kita tidak mahu mereka kata hudud adalah sesuatu yang kejam. - UM

No comments:

Post a Comment