My Add

Tuesday 6 December 2011

Suara ulama lebih didengari masyarakat Islam

KUALA LUMPUR, SELASA, 06 Disember, 2011:
SUDAH tiba masanya UMNO memartabatkan golongan agama di negara ini melalui penubuhan Majlis Ulama selaras dengan perjuangan parti itu yang meletakkan Islam dan kepentingan Melayu di tangga teratas.

Setiausaha Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (Accin), Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, golongan ulama membentuk kelompok besar dalam masyarakat sebagai orang yang berpengaruh sekali gus mampu menarik sokongan masyarakat Melayu Islam kepada parti itu kerana suara mereka lebih didengari.

"Justeru, mana-mana pertubuhan termasuk parti politik wajar memartabatkan golongan ulama kerana mereka meneruskan perjuangan dakwah para nabi dan mewarisi ilmu-ilmu nabi.

"Lebih baik sekiranya UMNO dapat mengiktiraf peranan golongan itu sebagai bukti parti itu tidak meminggirkan mereka, malah menjadikan mereka sebagai pakar rujuk dalam setiap perkara.

"Mereka (ulama) ialah orang yang berpengaruh dalam masyarakat, rakyat akan dengar suara mereka kerana ilmunya, jadi mesej lebih senang sampai kepada rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas saranan bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin supaya UMNO menubuhkan Majlis Ulama dalam usaha membuktikan parti itu tidak berjanji kosong dalam memperjuangkan Islam dan orang Melayu.

Sementara itu, Pengerusi Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Azril Mohd. Amin berkata, institusi keagamaan di negara ini perlu diperkasakan terlebih dahulu sebelum sebuah majlis seumpama itu ditubuhkan.

Dalam konteks itu, beliau berkata, UMNO mempunyai sekretariat ulama muda yang mampu berperanan memberi kefahaman sebenar tentang Islam kepada ahlinya serta rakyat keseluruhannya.

"Mana-mana parti politik yang mahu memperjuangkan Islam perlu memperkasakan institusi agama sedia ada dalam usaha menyemarakkan kefahaman yang betul tentang Islam," katanya. - UM

No comments:

Post a Comment