My Add

Wednesday 14 December 2011

Festival Antarabangsa Baba Nyonya mulai Jumaat ini di Melaka

MELAKA, RABU, 14 Disember, 2011: 
FESTIVAL Antarabangsa Baba Nyonya bakal berlangsung di Taman Warisan, Jonker Walk di sini selama tiga hari bermula Jumaat ini mempamerkan kepelbagaian seni masyarakat itu. 

Pengerusi Jawatankuasa Negeri Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Norpipah Abdol, berkata festival itu bakal dihadiri pelancong luar negara antaranya dari Indonesia, Thailand, Singapura, Itali dan China.

"Festival kali kedua ini akan dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam bertujuan mempromosikan industri pelancongan di negeri ini yang berorientasikan kepelbagaian kaum dan kebudayaan.

"Ia juga untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dunia tentang kewujudan identiti Baba Nyonya sebagai satu landasan untuk memartabatkan kebudayaan dan kesenian Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Norpipah berkata, antara aktiviti festival itu ialah seminar, demonstrasi masakan chef Florence Tan, demonstrasi menyulam bunga kebaya Nyonya, demonstrasi membuat kuih onde-onde, demonstrasi menjahit kasut manik serta cara mengikat sanggul dan memakai kebaya Nyonya. 

Beliau berkata, pengunjung turut dihiburkan dengan majlis perkahwinan Baba Nyonya, persembahan dondang sayang, keroncong, pertunjukan fesyen kebaya Nyonya dan pertandingan Ratu Kebaya Nyonya di Pentas Jonker Walk. 

"Kemuncak festival berkenaan ialah majlis makan malam yang akan dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada 18 Disember ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment