My Add

Tuesday 13 December 2011

Garis panduan keselamatan wartawan bertugas

PETALING JAYA, SELASA, 13 Disember, 2011:
GARIS panduan mengenai aspek kesihatan dan keselamatan pengamal media ketika membuat liputan di kawasan yang berisiko tinggi sama ada dalam atau luar negara akan dikeluarkan hujung bulan ini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam. 

Beliau berkata, perbincangan mengenai garis panduan itu kini di peringkat akhir dengan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ).

"Garis panduan ini akan mengambil kira keselamatan dan keadaan kawasan liputan para wartawan semasa menjalankan tugas dan butiran lanjut mengenainya (garis panduan) hanya akan diketahui apabila diumumkan kelak," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada majlis jamuan bersama Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden MBAM Kwan Foh Kwai dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Datuk Ir Dr Johari Basri. 

Dr Subramaniam berkata, garis panduan itu adalah usaha kerajaan untuk mengelak kejadian yang menimpa jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, 39, yang terkorban ketika mengikuti misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia tidak berulang.s 

Noramfaizul, terkorban akibat terkena tembakan curi ketika mengikuti misi kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu rakyat Somalia yang diancam kebuluran dan kemarau panjang. 

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata, sehingga Oktober lalu sebanyak 50,157 kes kemalangan di tempat kerja dilaporkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). 

Beliau berkata, daripada jumlah itu kira-kira sembilan peratus membabitkan pekerja di bidang pembinaan manakala 30 peratus melibatkan mereka yang terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pergi dan pulang dari kerja. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment