My Add

Tuesday 13 December 2011

Keadaan banjir di 2 daerah Pahang tak banyak berubah

KUANTAN, SELASA, 13 Disember, 2011: 
MANGSA banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di dua daerah di Pahang berkurangan kepada 2,773 orang tengah hari ini berbanding 2,894 orang pagi tadi.

Menurut jurucakap bilik gerakan banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga jam 2 petang ini, seramai 121 mangsa banjir di Pusat Bina Insan Jaya Gading, Kuantan telah dibenarkan pulang tengah hari ini.

"Ketika ini mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan di daerah Kuantan ialah seramai 2,293 orang di 13 pusat pemindahan,” kata jurucakap berkenaan di sini hari ini.

Manakala di daerah Rompin, seramai 114 keluarga dengan jumlah seramai 480 orang masih ditempatkan di pusat-pusat pemindahan banjir daerah itu.

"Banjir di kawasan penempatan mereka telah didapati surut bagaimanapun mereka masih belum dibenarkan pulang kerana banjir masih belum pulih sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu Jalan Bukit Serdang di Rompin, ditutup kepada semua kenderaan kerana terdapat runtuhan tanah di kawasan berkenaan, manakala di KM38 Jalan Ibam-Rompin ditutup kepada kenderaan ringan berikutan kawasan berkenaan dinaiki air setinggi 0.5 meter. – Bernama

No comments:

Post a Comment