My Add

Saturday 17 December 2011

Golongan ulama tidak boleh fanatik, taksub melulu - Najib

NAJIB Tun Razak menyampaikan Anugerah Tokoh Imam kepada Roslan Abd Halim (kanan) pada Majlis Perdana Ulama-Umara dan Imam di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama Jamil Khir Baharom dan Dr. Mashitah Ibrahim.
KUALA LUMPUR, SABRU, 17 Disemberm 2011: 
GOLONGAN ulama tidak boleh bersikap fanatik, berpihak kepada parti politik tertentu serta taksub secara melulu sehingga terlalu mudah menjatuhkan hukuman terhadap orang lain tanpa usul periksa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebagai barisan hadapan, golongan ulama perlu melupakan perbezaan politik dan bersatu mempertahankan akidah serta maruah umat Islam daripada sebarang bentuk pencerobohan.

"Kita amat sedih apabila ada segelintir ulama sanggup menegakkan hujah yang bercanggah dengan al-Quran dan sunah, semata-mata mahu mempertahan ideologi politik kepartian, hatta dalam isu mengerjakan haji ke tanah suci Mekah.

"Sedangkan golongan ini iaitu ulama dan umara yang mempunyai tanggungjawab besar dalam menentukan kesejahteraan rakyat dan negara," katanya semasa berucap pada Majlis Perdana Ulama, Umara dan Imam di sini, hari ini.

Majlis tersebut dihadiri kira-kira 2,000 ulama, umara dan imam dan serentak dengan itu turut diumumkan Tokoh Imam Kebangsaan yang dianugerah kepada Imam Besar Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah, Sheikh Roslan Abdul Halim.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib menyeru golongan ulama, umara, imam dan seluruh umat Islam agar berwaspada dengan penyebaran fahaman pluralisme serta liberalisme yang mengugat akidah umat Islam.

Katanya, ada pihak tertentu di negara ini cuba mengambil kesempatan dengan 'menangguk di air yang keruh' untuk memisahkan orang muslim daripada ajaran Islam iaitu dengan meracuni fikiran mereka mengenai pluralisme dan liberalisme.

"Ini sudah memadai untuk mereka, tidak semestinya sehingga menukar agama. Sebab itu kita mesti sentiasa berwaspada terhadap apa jua perancangan dan tindakan pihak berkenaan dalam mengancam akidah kita," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan akan membendung dan menolak sebarang usaha daripada pihak tertentu untuk menganjurkan apa jua program yang bersifat songsang dengan fitrah manusia.

Tegas beliau, setiap kebebasan ada batasnya dan segala pandangan yang dikeluarkan oleh setiap individu tidak boleh lari daripada kerangka perundangan yang dibenarkan atau bertentangan dengan fitrah kejadian manusia.

"Pada saat ini, umat Islam sedang diasak secara fizikal dan mental dari segenap penjuru dan kita tidak seharusnya hilang fokus. Sebagai manusia, seseorang itu wajar diberi kebebasan, tetapi ia ada batasnya," ujarnya. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment