My Add

Saturday 17 December 2011

Pas Terengganu persoal tindakan cetus isu Hasan Ali

KUALA TERENGGANU, SABTU, 17 Disember, 2011:- Pas Terengganu turut mempersoalkan tindakan pihak tertentu mencetuskan isu kononnya Datuk Dr. Hasan Ali digugurkan daripada senarai calon Pas menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Abdul Wahid Endut mengakui berasa pelik dengan perkembangan tersebut dan menyifatkan pihak terbabit sebagai memandai-mandai kerana menimbulkan isu yang sebenarnya tidak berlaku.

Ini kerana, jelas beliau, Hasan yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor masih seorang ahli dan juga pemimpin Pas yang sah.

"Siapa yang mengatakan beliau (Hasan) gugur dari senarai. Saya sendiri pun tak tahu lagi sama ada jadi calon atau tidak, benda belum putus lagi.

"Kalau dia mendahului, ini yang timbul masalah," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Masjid Sultan Ismail oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, semalam.

Abdul Wahid diminta mengulas isu membabitkan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu yang dikatakan telah digugurkan daripada senarai calon parti tersebut menghadapi PRU13, lapor RADHUAN HUSSAIN

Berita pengguguran Hasan mula tersebar selepas beberapa blog memetik kenyataan Ketua Penerangan Pas Selangor, Saari Sungib yang menyatakan kemungkinan besar ADUN Gombak Setia itu akan digugurkan.

Abdul Wahid turut menyifatkan isu berkenaan sebagai perkara kecil dan mampu ditangani oleh Pas dalam usaha meneruskan perjuangan parti.

"Ini perkara kecil. Sekarang ini kita dalam proses untuk selesaikan masalah. Soal calon adalah perkara belum lagi kita putuskan dan kita tak boleh mendahului perkara belum kita putus," katanya. - UM

No comments:

Post a Comment