My Add

Friday 23 December 2011

Hadi bidas pemimpin PAS lagak pandai


Tiada tolak ansur cubaan individu sabotaj parti 

Oleh Nazura Ngah
KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam membidas pemimpin parti itu yang cuba berlagak pandai sehingga membiarkan diri menjadi mangsa politik.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Abdul Hadi berkata mereka yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu akan tersungkur, manakala bagi yang berilmu tetapi menganggap diri paling bijak dalam Pas tanpa mempedulikan adab berjemaah akan menjadi mangsa politik yang menjadi musuh perjuangan Islam.

Sehubungan itu beliau mengingatkan ahli dan pemimpin Pas mengenai amaran Rasulullah terhadap sikap sedemikian yang boleh membahayakan diri dan parti. 

“Pas terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia. 

“Sesiapa yang menyertai Pas wajib mengikut haluan dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah (faham) dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham,” katanya dalam satu kenyataan semalam. 

Kenyataan Ahli Parlimen Marang itu dipercayai ada kaitan dengan kritikan EXCO Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang menolak konsep negara berkebajikan, sebaliknya mendesak parti itu kembali ke pangkal jalan dengan memartabatkan dasar menegakkan negara Islam.
Hasan yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor turut mendedahkan perubahan dasar dan prinsip perjuangan parti bermula sebaik saja parti itu membentuk pakatan dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). 

Sementara itu, Pas akan memanggil Hasan, bekas Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan Pas Selangor, Saari Sungip bagi mendapatkan penjelasan berhubung beberapa isu yang dibangkitkan mutakhir ini. 

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Lajnah Politik dan Pilihan Raya parti dipengerusikan Abdul Hadi malam kelmarin. 

Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti menuntut penjelasan daripada tiga pemimpin berkenaan supaya parti tidak lagi perlu membazir masa melayan pertikaian yang timbul akibat kecil hati terhadap kesilapan kecil, ego berlebihan dan keengganan sesetengah pihak menerima keputusan parti dan jemaah. 

Beliau menegaskan parti tidak akan bertolak ansur dalam sebarang tindakan sabotaj sama ada dari dalam mahupun luar yang mengganggu persiapan akhir parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). 

“Semua ahli mesti memainkan peranan sebagai ‘team player’ untuk memastikan jemaah bergerak dalam keadaan baik dan harmoni. 

“Seluruh tumpuan kerja mesti difokus kepada persiapan akhir daripada melayan kerenah segelintir pemimpin yang ada berbeza pandangan terhadap dasar parti yang dijamin arahnya oleh Majlis Syura,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. 

Meskipun Lajnah Politik dan Pilihan Raya turut dianggotai Hasan dan Nasharudin, kedua-duanya tidak hadir pada mesyuarat yang berlangsung hampir tiga jam di Ibu Pejabat Pas, di sini. - Berita Harian 

No comments:

Post a Comment