My Add

Friday 23 December 2011

Kembar seiras gembira peroleh 8A

ARNI Mohamad Ismail (tengah) ibu yang paling gembira apabila dua anak kembarnya, Fareed Danial Ahmad Kahar (kiri) dan Fareed Danish Ahmad Kahar mendapat 8A dalam PMR di SMK Anderson, Ipoh, Perak semalam.

IPOH, JUMAAT, 23 Disember, 2011:Pasangan kembar, Fareed Danial Ahmad Kahar dan adiknya, Fareed Danish, 15, bukan sahaja seiras, tetapi turut berkongsi kegembiraan apabila masing-masing memperoleh 8A dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan semalam.

Lebih menarik, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson itu turut mendapat keputusan sama iaitu 4A 1B sewaktu menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebelum ini.

Fareed Danial berkata, dia dan adiknya mengambil masa sekurang-kurangnya enam jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran serta mengakui mereka mempunyai naluri yang kuat antara satu sama lain.

Menurutnya, dia tetap bersyukur dengan keputusan tersebut walaupun akan berpindah ke Subang Jaya, Selangor kerana mengikut ibu mereka, Arni Mohamad Ismail, 42, yang bertukar tempat kerja ke sana.

Katanya, mereka bangun seawal pukul empat pagi sewaktu bulan Ramadan lalu untuk mengulang kaji pelajaran sambil ditemani datuk, Ismail Saidi, 70, dan nenek mereka, Umi Salmah Mohd. Sah, 69, yang menjaga pasangan kembar itu sejak kecil.

''Rahsia kami hanya belajar bersungguh-sungguh dan percaya kepada Tuhan selain sentiasa berdoa memohon kejayaan daripada-Nya.

''Namun, sewaktu dalam peperiksaan, kadang-kadang apabila saya ragu untuk menjawab soalan, saya akan tunggu jawapan yang saya rasa betul yang dipilih oleh adik saya," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Fareed Danish pula tidak menyangka akan memperoleh keputusan yang sama dengan abangnya kerana pencapaian mereka agak berbeza ketika peperiksaan percubaan.

''Sebelum ini, dalam peperiksaan percubaan PMR lalu, saya mendapat 6A 2B sementara abang pula 4A 4B, sebab itu kami tidak sangka boleh sama-sama memperoleh 8A," katanya yang berminat bermain gitar dan futsal.

Dia yang bercita-cita menjadi seorang jurutera elektrik berkata, mereka merancang untuk meneruskan pelajaran dalam aliran sains selepas ini. - UM

No comments:

Post a Comment