My Add

Friday 23 December 2011

Hasrat Aspirasi tercapai

Mohd. Shahar Abdullah
Oleh AZHARI ZAINOODDIN
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 23 Disember, 2011: Hasrat Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi) menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah tercapai malam tadi.

Memorandum tersebut disampaikan 15 wakil Aspirasi diketuai Presidennya, Mohd. Shahar Abdullah dalam pertemuan tidak dirancang di pekarangan Dewan Besar Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurut Mohd. Shahar, mereka berasa agak kecewa apabila Saifuddin tidak memenuhi permintaan untuk bertemu ketika perhimpunan membabitkan lebih 1,000 ahli Aspirasi diadakan di kementerian itu petang semalam.

"Alhamdulillah berkat daripada semangat kesamaan semua terlibat akhirnya memorandum itu sampai juga ke tangan timbalan menteri secara aman tanpa sebarang kekecohan.

"Biarpun Datuk Saifuddin agak terkejut apabila melihat kedatangannya ke UPM disambut oleh ahli Aspirasi, beliau tetap menerima memorandum berkenaan dan meminta tempoh untuk meneliti terlebih dahulu kandungan memorandum itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, gerakan mahasiswa, Aspirasi dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan bangunan Kementerian Pengajian Tinggi di Putrajaya bagi menyerahkan dua memorandum kepada menteri dan timbalan menteri kementerian berkenaan.

Namun, kedua-dua memorandum berkenaan diterima oleh wakil menteri dan timbalan menteri tersebut.

Tambahnya, apa yang terkandung di dalam memorandum berkenaan adalah gesaan agar Saifuddin bertanggungjawab terhadap kelakuan biadap ahli Solidariti Mahasiswa Malaysia (SSM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) yang menurunkan bendera yang mempunyai wajah Perdana Menteri pada Sabtu lalu.

Selain itu, jelasnya, gesaan turut dibuat agar Saifuddin mendesak SSM dan Bebas untuk mengemukakan permohonan maaf dalam masa 14 hari.

"Jika dua perkara itu tidak berlaku dalam masa yang ditetapkan, kami mahu beliau meletakan jawatannya," tegasnya.

Dalam masa sama, Mohd. Shahar turut mempersoalkan tindakan yang dilakukan oleh Saifuddin yang dilihat sengaja untuk mengelak pertemuan berkenaan dan seolah-olah mengamalkan sikap berat sebelah.

"Jika beliau sanggup mengorbankan masa bertemu SSM dan Bebas, mengapa dengan kami beliau memberikan hari lain untuk bertemu sedangkan sudah ramai yang berkumpul di Putrajaya.

"Sememangnya kami diberitahu bahawa beliau mempunyai program di Batu Pahat, Johor di sebelah pagi dan petang pula perlu ke Seremban, Negeri Sembilan, jadi mengapa beliau tidak boleh mencuri sedikit masa untuk datang ke Putrajaya sedangkan program di Johor itu tamat sekitar jam 11.30 pagi.

"Biarpun kami memberikan notis yang pendek untuk mengadakan perhimpunan itu tetapi ia sama seperti mana yang dilakukan SSM dan Bebas. Jadi, mengapa tuntutan dua pertubuhan tidak berdaftar itu boleh dilayan sedangkan kami diberi tawaran lain?" soalnya.

Katanya, apa yang dikesalkan adalah sikap Saifuddin yang tidak membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar.

Sehubungan itu, satu gerakan Aman Kampus turut dilancarkan dalam perhimpunan tersebut dan ia akan digerakkan mulai awal tahun hadapan.

"Untuk permulaan Aman Kampus akan singgah di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan akan singgah ke kampus-kampus lain secara berperingkat.

"Program ini adalah bertujuan untuk menyedarkan mahasiswa agar mempertahankan keharmonian dan keamanan dalam kampus tampa campur tangan pihak luar yang mahu memutar belitkan pemikiran mahasiswa," ujarnya. - UM

No comments:

Post a Comment