My Add

Friday 23 December 2011

MAIDAM henti hantar pelajar

Oleh TENGKU FAUZIAH NGAH 
KUALA TERENGGANU, JUMAAT, 23 Disember, 2011: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) turut mengikut langkah kerajaan negeri yang menghentikan program penghantaran pelajar tajaannya ke Mesir mulai tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman berkata, langkah itu diambil setelah pihaknya mengenal pasti sistem pengajian di negara berkenaan yang didapati agak ketinggalan dan tidak relevan.

Malah katanya, sistem pendidikan di sesetengah pusat pengajian di negara tersebut menyebabkan ada pelajar dari negeri ini terkandas dalam pengajian.

Beliau memberitahu, selain itu, faktor keselamatan di negara berkenaan juga diambil kira, malah ada pelajar yang terheret dalam agenda politik tertentu.

“Bagaimanapun baki pelajar seramai 260 orang yang sedang mengikuti pengajian di sana akan meneruskan pengajian seperti biasa sehingga tamat,’’ katanya kepada pemberita.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri menghentikan program penghantaran pelajar tajaan Yayasan Terengganu (YT) ke Mesir bagi bidang pengajian Islam kerana sebahagian sistem pengajian di negara itu didapati agak ketinggalan.

Selain itu menurut beliau, sistem pendidikan di sesetengah pusat pengajian negara itu menyebabkan ada pelajar Terengganu yang terkandas pengajian mereka.

Sehubungan itu, kata Wan Harujan, MAIDAM akan memilih beberapa universiti di Jordan untuk menghantar pelajar tajaannya dalam bidang pengajian Islam seperti syariah, usuluddin, al-Quran dan perundangan.

Tambah beliau, MAIDAM juga bersetuju untuk menambah jumlah tajaan kepada pelajarnya yang menunjukkan prestasi cemerlang antara RM5,000 hingga RM7,000. - UM

No comments:

Post a Comment