My Add

Monday 12 December 2011

Hubungan Malaysia-Indonesia diperkuat melalui kerohanian

JAKARTA: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata hubungan Malaysia dan Indonesia dapat diperkuatkan lagi menerusi kegiatan bercorak kerohanian termasuklah latihan memperkasakan sumber daya manusia seperti yang dianjurkan badan Emotional and Spiritual Quotient (ESQ). 

Beliau berkata, kegiatan latihan ESQ ini dapat menjadi jambatan bagi hubungan kedua-dua negara yang semakin baik di masa depan.

Ini kali kedua beliau mengikuti latihan ESQ, selepas latihan bersama pegawai tentera dan pegawai Kementerian Pertahanan pada 2009. Kali ini beliau kembali mengikuti latihan itu bersama isteri dan anak-anak.

ESQ ialah program latihan pembentukan sifat-sifat diri yang dikendalikan oleh Pusat Kepimpinan ESQ, pimpinan tokoh motivasi Indonesia, Dr Ary Ginajar Agustin. 

Ahmad Zahid berkata, latihan ESQ dapat menyumbang kepada hubungan yang lebih rapat di peringkat rakyat kedua-dua negara serumpun yang terpisah oleh penjajahan dan pada masa sama boleh membantu menyelesaikan masalah dua hala melalui pendekatan yang baik dan bijaksana. 

"Sikap bijak itu hanya boleh dilatih melalui ESQ ini. Jangan dibesar-besarkan persoalan yang ada sehingga menjadikan kedua negara lupa bahawa mereka ada hubungan budaya, bahasa dan agama yang serumpun," katanya yang dipetik oleh agensi berita Antara semalam. 

Menteri itu kesal ada tanggapan salah tentang Malaysia oleh sebahagian masyarakat Indonesia seperti kononnya Malaysia ialah "penindas" rakyat republik ini.

Apabila hubungan antara rakyat semakin rapat, permasalahan dua hala boleh diselesaikan dengan baik dan hubungan baik kedua-dua negara juga dapat terus dipelihara, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment