My Add

Monday 12 December 2011

Pekerja syarikat pengeluar pasir rasuah Komander Maritim

KUALA LUMPUR, ISNIN, 12 Disember, 2011: SEORANG pekerja syarikat pengeluar pasir sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan memberi suapan kepada Komander Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Wilayah Maritim Timur Kuantan, Pahang, tahun lalu. 

Bagaimanapun, Abdullah Sani Cheah Abdullah, 42, dari Ipoh, Perak mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Sebelum ini, Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua tuduhan memberi suapan kepada Komander Maritim Syd Mohd Fuzi Syd Hasan membabitkan RM18,000 pada 22 Ogos lalu.

Dalam prosiding hari ini, Abdullah didakwa memberi suapan wang tunai RM9,500 kepada orang yang sama di bilik No 511, Hotel Ancasa dan Spa, dekat sini antara jam 8.15 hingga 8.30 malam pada 8 Oktober 2010. 

Perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang ke atas bot tunda dan tongkang yang membawa muatan pasir sungai dari Muara Kuala Sungai Pahang ke Singapura. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi. 

Terdahulu peguam Leonard Anselm Gomes yang mewakili tertuduh memohon agar kes tersebut dibicarakan sekali bersama dua lagi kes yang dihadapi tertuduh. 
Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 hingga 9 Mac tahun depan untuk kes berkenaan dibicarakan serentak. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azah Kasran. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment