My Add

Monday 5 December 2011

Hudud timbulkan salah faham

FATHUL Bari Mat Jahaya (kiri) memberi penjelasan berkaitan isu hudud di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam. Turut serta, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Lim Chee Wee (tiga dari kanan). - UTUSAN/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

KUALA LUMPUR, ISNIN, 05 Disember, 2011:
HUKUM Hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan mempunyai pelbagai kesalahan dan akibat daripada itu timbul salah faham masyarakat bukan Islam terhadap hukuman tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya justeru berkata, setiap kesalahan itu perlu kepada pembetulan dan selagi ia tidak diperbetulkan Hudud tidak sesuai dilaksanakan di negeri berkenaan.

Beliau berkata, satu lagi perkara perlu diberikan perhatian hudud tidak boleh didatangkan dalam bentuk versi kerana ia merupakan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah.

''Penjelasan mengenai takzir dan qisas yang juga merupakan cabang dalam hukum jenayah Islam juga perlu diperluaskan dan masyarakat bukan Islam wajar diberi penerangan mengenai hukum Islam secara keseluruhan berperingkat-peringkat,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam, lapor SAIFULIZAM MOHAMAD

Beliau berkata demikian ketika ditanya punca berlakunya salah faham masyarakat bukan Islam terhadap hukum Hudud.

Dalam pada itu ketika menjadi ahli panel dalam Forum Awam: Hudud dan implikasi terhadap orang bukan Islam di Wisma MCA, di sini semalam

Fathul Bari berkata, hukum di dalam Islam bukan setakat hukum Hudud sahaja malah ia membabitkan tiga hukum paling utama iaitu akidah, syariah dan akhlak.

''UMNO tidak pernah menolak hudud kerana ini adalah hukum Allah tetapi doktrin yang ditanam oleh Pas telah menyebabkan masyarakat awam termasuk orang bukan Islam sering mengaitkan hukum Islam dengan perlaksanaan hukum Hudud sedangkan ia turut mengandungi hukum takzir dan qisas.

''Masyarakat juga gagal diberi pemahaman bahawa Hudud bertujuan untuk mencegah satu-satu perbuatan jenayah itu daripada berlaku dan satu lagi hukuman berkaitan hudud ini bukan mudah untuk dijatuhkan kerana ia tertakluk kepada syarat-syarat yang begitu ketat,'' katanya.

Forum tersebut dirasmikan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek.

Fathul Bari berkata, walaupun Malaysia tidak melaksanakan Hudud itu tidak bermakna negara ini dikatakan gagal melaksanakan hukum Islam kerana takzir juga merupakan salah satu cabang dalam sistem perundangan Islam.

''Inilah masalahnya. Sebut sahaja hukum Islam kita menjurus kepada hudud. Persepsi ini timbul disebabkan doktrin Pas yang sengaja menyempitkan pengertiannya. Di Malaysia hukuman yang dikuatkuasakan termasuk di dalam takzir.

''Sebagai contoh hukuman penjara, denda dan rotan yang dikenakan ke atas kesalahan jenayah yang dilakukan sama ada di mahkamah sivil mahupun syariah dikategorikan hukuman dalam bentuk takzir,'' katanya.

Beliau berjaya menarik perhatian hadirin apabila menjelaskan di dalam Islam mereka yang gagal disabitkan di bawah peruntukan hudud akan dihukum berdasarkan hukuman secara takzir.

''Saya juga ingin berkongsi bagaimana sukarnya hukum hudud ini hendak dijatuhkan. Sebagai contoh pada zaman Saidina Umar al-Khattab telah berlaku kemarau panjang dan berikutan daripada itu berlaku satu kecurian.

''Akhirnya si pencuri telah ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan. Bagaimanapun atas alasan kemarau panjang sipencuri itu telah dimaafkan.,'' katanya.

Beliau mengambil satu contoh lagi apabila sebuah BMW X6 yang ditinggalkan di luar rumah dan kemudian telah dicuri.

''Menurut hukum Hudud pencuri ini akan dikenakan potong tangan sekiranya sabit kesalahan tetapi disebabkan harta curian berada di luar rumah maka pencuri terbabit tidak dikenakan hukum Hudud sebaliknya berpindah kepada takzir,'' katanya lagi.

No comments:

Post a Comment