My Add

Monday 5 December 2011

Himpunan terbesar PSSLM


OMARDIN Mauju (duduk tiga dari kiri) bersama wakil dari kaum Cina serta India yang akan mengadakan perhimpunan perpaduan Januari depan pada sidang akhbar di Georgetown, Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG, ISNIN, 05  Disember, 2011: - Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) akan menganjurkan satu perhimpunan terbesar melibatkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini pada 13 Januari tahun depan.

Pengasas PSSLM, Tan Sri Omardin Mauju berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menghadiri perhimpunan tersebut yang bakal menghimpunkan 30,000 ahli NGO daripada pelbagai bangsa, lapor ROKIAH ABDULLAH

Tambahnya, pada majlis itu, Perdana Menteri juga dijangka menyampaikan amanat penting kepada NGO terlibat berkaitan perpaduan negara.  

"Perhimpunan ini adalah sebagai tanda sokongan kami kepada kerajaan dan satu mesej khas akan kami sampaikan kepada Perdana Menteri pada hari berkenaan.

"Setakat ini, kita sedang mengenal pasti beberapa tempat untuk ia dilangsungkan. Yang pasti ia akan dianjurkan pada sebelah malam supaya semua rakyat negeri ini dapat melihatnya," katanya pada sidang akhbar di sini, malam semalam.

Menurut Omardin, perhimpunan itu juga bakal memberikan satu signifikan yang cukup besar dan membuktikan bahawa menerusi silat ia mampu menyatupadukan pelbagai kaum di negara ini.

"NGO yang mewakili masyarakat Cina dan India sudah pun menyatakan persetujuan untuk menjayakan perhimpunan itu dan saya jangka ia bakal menjadi yang terbesar berbanding perhimpunan sebelum ini iaitu di Melaka.

"Di Melaka kami berjaya menghimpunkan 10,000 orang dan kami sasarkan jumlah di Pulau Pinang lebih tinggi iaitu sekitar 30,000. Selepas Pulau Pinang, kita akan menganjurkan program yang sama di Selangor," katanya.

Tambah Omardin, pihaknya masih mempertimbangkan beberapa lokasi untuk perhimpunan itu diadakan, antaranya Dataran Padang Kota Lama dan tepian gelanggang Pusat Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA). - UM

No comments:

Post a Comment