My Add

Saturday, 17 December 2011

Indonesia sasaran pasaran Asia ketiga selepas China, India

KUALA LUMPUR: Perniagaan Malaysia perlu menyasarkan 
pasaran Indonesia sebagai pasaran Asia yang ketiga selepas China dan India, kata
Presiden Emiritus Kelab Perniagaan Kuala Lumpur, Datuk Rohana Mahmood.

Katanya negara demokrasi ketiga terbesar dengan penduduk lebih 245 juta kini dikenali sebagai salah satu peserta ekonomi global baru yang pantas muncul.

"Kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan keluaran dalam negara kasar 
(KDNK) Indonesia diperolehi dari industri kerana adanya jumlah penduduknya yang besar." 

"Kita perlu berusaha lebih keras untuk meraih potensi pasaran Indonesia," 
katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Kemuncak Korporat Muda Malaysia tahunan ke-tiga yang bertemakan "China dan India: Persempadanan Seterusnya" di sini hari ini.

Rohana berkata Malaysia sememangnya telah menunjukkan prestasi yang baik di 
dalam sektor kewangan dan perladangan di Indonesia tetapi kita perlu meneroka 
lebih jauh di dalam segmen pelancongan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

"Saiz tanah dan penduduk Indonesia boleh menawarkan Malaysia kelebihan untuk 
menembusi pasaran ini berikutan persamaan di segi budaya dan bahasa, kata 
Rohana. 
Rohana berkata China, India dan Indonesia yang mempunyai penduduk 2.75 
bilion, boleh memainkan peranan yang besar di dalam ekonomi global. 
"KDNK China bernilai US$10.09 trilion, India (US$4.06 trilion) dan 
Indonesia (US$1.1 trilion) yang dijangka berganda dalam setiap 8-10 tahun," 
katanya.

"Angka yang menarik ini tidak boleh diabaikan oleh ahli perniagaan, pelabur 
enterpris serta pakar ekonomi dan penganalisis.

"Bagi membolehkan Malaysia menembusi dan meraih dengan cemerlang potensi 
pasaran berkenaan, saya merasakan ia tidaklah susah sangat," katanya sambil 
menyatakan yang penting sekali ialah perniagaan Malaysia perlu mengetahui 
kekuatan masing-masing," katanya. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment