My Add

Saturday 17 December 2011

VOG serah bantuan banjir bernilai RM14,000

KUANTAN, SABTU, 17 Disember, 2011: Kumpulan Pemilik Motosikal Kawasaki Versys (VOG) Malaysia hari ini menyerahkan sebanyak 200 kotak berisi barangan keperluan serta ubat-ubatan bernilai RM14,000 untuk mangsa banjir di Pahang. 

Penyelaras Projek Operasi Bantuan Banjir VOG, Syed Ahmad Abdul Hadi Syed Hussein berkata, barang keperluan berkenaan akan diagihkan kepada mangsa banjir dari empat daerah di Pahang iaitu Kuantan, Pekan, Rompin dan Raub melalui JKM Pahang.

"Konvoi yang membabitkan 21 penunggang daripada keseluruhan 800 ahli VOG bertolak dari Kuala Lumpur awal pagi tadi menghantar bantuan itu kepada mangsa banjir di Kuantan sebelum bergerak ke Kemaman, Terengganu.

"Barangan asas dan ubat-ubatan terbabit turut disumbangkan pihak Pharmaniaga Berhad, Metrowealth Industry Group, GIVI, Eversafe, Lea Kraft dan pasar raya Mydin," katanya selepas menyampaikan bantuan kepada Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Datuk Shamsiah Hussin di pejabatnya, di sini. 

Beliau berkata, pihaknya berharap lebih banyak kumpulan penunggang motosikal di seluruh negara turut sama untuk turun padang dalam membantu golongan yang tidak bernasib baik termasuk mereka yang ditimpa musibah banjir. 

Sementara itu, Shamsiah berkata tugas membantu golongan susah dan kurang bernasib baik ini tidak hanya dari agensi kerajaan semata-mata, sebaliknya ia adalah tanggungjawab bersama. 

Beliau berkata, bantuan yang dihulurkan VOG akan diserah kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan selanjutnya sebelum diagih kepada mangsa banjir berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment