My Add

Monday 12 December 2011

Isu NFC: Puad gesa Salleh jawab segala tuduhan

KUALA LUMPUR, ISNIN 12 Disember, 2011:
PENGERUSI Eksekutif Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail digesa lebih agresif menjawab tuduhan terbaru mengenai projek itu bagi mengelak rakyat berterusan menyalahkan kerajaan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sikap berdiam diri Mohamed Salleh menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung beban dituduh bersubahat sedangkan semua dakwaan melibatkan urusan syarikat.

"Saya gesa Mohamad Salleh tampil ke depan dengan segera untuk menjawab segala tuduhan baru yang tersebar di dalam blog, yang dibuat oleh pembangkang supaya rakyat tidak terkeliru dan kerajaan tidak menjadi mangsa tuduhan.

"Bila berdiam diri, tak jawab segala dakwaan, seolah-olah dia tidak bertanggungjawab, seolah-olah dia sengaja nak susahkan UMNO dan kerajaan," katanya kepada Bernama, semalam.

Mohd. Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, tuduhan berhubung pembelian tanah di Putrajaya, menerima elaun RM100,000 dan memberi elaun RM40,000 kepada anak sendiri serta pembelian kereta mewah, yang kesemuanya menggunakan dana syarikat, perlu dijawab segera bagi mengelakkan kekeliruan selain turut memberi kesan negatif terhadap kerajaan.

Beliau berkata, sebagai individu bertanggungjawab, Mohamed Salleh sepatutnya menjawab segala pertuduhan itu dan jika tidak mampu mempertahankan diri, beliau harus segera melepaskan jawatan.

"Sepatutnya dia perjelaskan, kalau tak betul tuduhan itu, dia boleh saman dan kalau betul tuduhan itu, beliau perlu meletak jawatan.

"Itu cara orang bertanggungjawab. Ini supaya kerajaan tidak lagi dituduh macam-macam. Itu penting, jangan dia mendiamkan diri, menyelamatkan diri, sedangkan orang lain dapat masalah. Itu tidak adil kepada kerajaan," katanya.

Mohd. Puad berkata, sebagai suami Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang juga Ketua Wanita UMNO, Mohamed Salleh harus sedar tindakan berdiam diri akan turut memberi kesan kepada kedudukan isterinya.

"Salleh kena sedar dengan berdiam diri, dia juga menyusahkan Shahrizat. Bila orang serang Shahrizat, orang akan serang UMNO, sedangkan itu isu syarikat. Kenapa dia perlu jadikan orang lain sebagai tempat melepaskan geram, itu tidak patut," katanya.

NFC ialah satu entiti korporat swasta yang dipilih kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran daging lembu tempatan bagi menjamin keselamatan pengeluaran makanan negara.  

No comments:

Post a Comment