My Add

Monday 12 December 2011

Murtad: Kerjasama Jakim, majlis agama Islam

JERAI, ISNIN, 12 Disember, 2011:.
JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengembleng tenaga bersama majlis agama Islam negeri bagi memperkemaskan penguatkuasaan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam dalam membanteras kegiatan memurtadkan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penguatkuasaan enakmen tersebut dilihat masih lemah sehinggakan ia tidak dilaksanakan secara berkesan di peringkat negeri.

Katanya, walaupun enakmen menghalang kegiatan murtad itu sudah wujud sejak 1980 di mana pihak terlibat boleh didakwa di mahkamah sivil namun ia gagal dikuatkuasakan secara menyeluruh.

"Jakim akan berusaha memberi taklimat dan penerangan dalam usaha memperkemaskan enakmen tersebut dari sudut penguatkuasaan atau tindakan.

"Enakmen sudah ada tetapi tidak ada penguatkuasaan dijalankan di negeri-negeri yang melaksanakan enakmen itu mengikut enakmen yang telah digubal sejak 1980 itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan China Jeniang dekat sini, semalam.

Beliau mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam supaya pihak bertanggungjawab terutama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil langkah strategik bagi menangani gerakan memurtadkan orang Islam.

Menurutnya, penguatkuasaan enakmen tersebut oleh setiap majlis agama Islam negeri perlu digemblengkan oleh semua pihak tersebut pihak polis.

"Enakmen sudah digubal namun apa yang penting adalah tindakan penguatkuasaan daripada majlis agama Islam termasuk pihak polis.

"Sudah ada kes di mana orang yang didakwa memurtadkan orang Islam sebelum ini di Pahang dan tertuduh sudah dihukum," katanya.

Tambah beliau, semua majlis agama Islam negeri mempunyai kuasa penuh melaksanakan tindakan penguatkuasaan undang-undang berteraskan enakmen tersebut.

"Sejak digubal pada 1980 kebanyakan negeri sudah mewartakan enakmen tersebut jadi penguatkuasaan boleh dilakukan.

"Kini cuma lima buah negeri sahaja yang belum mewartakan enakmen tersebut bagi membolehkan penguatkuasaan dilakukan iaitu Perak, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak," katanya

Sehubungan itu, beliau menggesa agar majlis agama Islam negeri berkaitan mewartakan enakmen tersebut segera dalam mengekang gerakan memurtadkan orang Islam itu.

Dalam majlis tersebut, Jamil Khir turut mengumumkan peruntukan RM50,000 daripada kerajaan Pusat kepada sekolah itu untuk tujuan naik taraf kemudahan sekolah. - UM

No comments:

Post a Comment