My Add

Sunday 18 December 2011

Jawatankuasa Madrasah Salihiah dicadang lantik panel syarie

ALOR SETAR, AHAD, 18 Disember, 2011: Jawatankuasa Madrasah Salihiah Kanchut, Jalan Tambang Badak di sini dicadangkan melantik panel syarie bagi membincangkan kebenaran Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) untuk merobohkan madrasah tersebut bagi memberi laluan pembinaan kompleks membeli belah, Plaza Tunku Yaacob. 

Anggota Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin, berkata pelantikan panel berkaitan perundangan dan tanah wakaf akan dapat melicinkan perbincangan antara kedua-dua pihak.

Katanya, perbincangan dengan MAIK adalah langkah pertama untuk mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu perobohan madrasah itu yang ditentang oleh jawatankuasa pengurusan madrasah.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa madrasah itu di sini malam tadi, beliau berkata perbincangan panel yang dilantik adalah jalan terbaik sebelum tindakan mahkamah diambil. 

Jawatankuasa madrasah tersebut menerima salinan surat MAIK untuk yang mengusulkan diadakan perbincangan bagi mencari penyelesaian kepada masalah tersebut bulan lalu. 

Surat MAIK bertarikh 10 November itu dihantar kepada Pentadbir Tanah Daerah Kota Setar bagi memohon penangguhan mengosongkan bangunan Madrasah Salihiah Kanchut. 

Dalam perbincangan dengan jawatankuasa madrasah malam tadi, Zulkifli mencadangkan perkara itu dibawa kepada ketua Agama Islam Kedah iaitu Sultan Kedah dengan mengemukakan dokumen berkaitan. 

Menurutnya, langkah kedua ialah melantik peguam untuk mengambil tindakan mahkamah bagi mencabar keputusan pengambilan tanah wakaf khas ini selain memohon deklarasi terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri. 

Zulkifli berkata, beliau terkejut kerana pada pengetahuannya wakaf khas ini tidak boleh dijual beli kerana ia menjadi syiar dan jariah yang perlu dijaga oleh pihak yang masih ada pada ketika ini. 

"Apabila menjadi jariah ia perlu berlaku di tapak sama dan tidak boleh bercampur aduk dengan maksiat. Sekiranya madrasah ini dibina di bawah kompleks ia berkemungkinan bercampur dengan unsur maksiat," katanya. 

Pengurusan Madrasah Salihiah Kanchut merayu kerajaan negeri menangguhkan arahan pengosongan premis berusia 100 tahun itu selepas kerajaan meluluskan pembangunan Plaza Tunku Yaacob bulan lalu dan mencadangkan surau bagi menggantikan madrasah dibina di tingkat bawah plaza itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment