My Add

Sunday 4 December 2011

JHEAIK akan siasat penceramah Pas

KOTA BHARU, AHAD, 04 Disember, 2011: JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) akan menjalankan siasatan berhubung tindakan seorang penceramah Pas yang menyamakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan nabi.

Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK), Che Hamat Che Muda berkata, perkara itu amat serius kerana ia bertentangan dengan akidah umat Islam sekiranya ia benar-benar berlaku.

"Biarpun semua hal ehwal agama Islam di bawah MAIK tetapi kuasa menyiasat dan pendakwaan adalah di bawah bidang kuasa JHEAIK, siasatan akan dilakukan oleh jabatan ini.

"Ini bukan soal menyampaikan kuliah atau ceramah agama tanpa tauliah tetapi tindakan menyamakan Nik Abdul Aziz dengan nabi adalah amat bertentangan dengan ajaran Islam.

"Kita perlu lihat dan menjalankan siasatan secara menyeluruh sebelum mengambil apa-apa tindakan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) supaya MAIK menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas terhadap Shamsul Zaman Sukri yang menyamakan Nik Abdul Aziz dengan nabi.

Desakan tersebut dibuat selepas sebuah portal detikaperubahan.com mendedahkan rakaman video yang menunjukkan Shamsul Zaman telah menyamakan Mursyidul Am Pas itu dengan nabi berasaskan hadis, "ulama adalah pewaris nabi".

Dalam rakaman itu, beliau yang dikenali sebagai "Ustaz Budak" berkata: "Nabi-nabi ini orang alim, orang alim ulama itu nabilah tapi bila kita kata Tok Guru Nik Aziz itu nabi, orang kata sesat pula ambo (saya). Orang kata sesat, Ustaz Budak kata Tok Guru Nik Aziz nabi. Sebenarnya orang alim itu nabi dah."

"Ulama-ulama itu waris nabi dah, maknanya bila tidak ada nabi, dia nabi dah."

Menurut portal tersebut, Shamsul Zaman berasal dari Kampung Paloh Rawa, Machang serta keluarganya juga dari keturunan ulama dan pengasas pondok di kampung tersebut. 

No comments:

Post a Comment