My Add

Wednesday 14 December 2011

Karyawan jadi pemimpin pemikiran

KUALA LUMPUR, RABU 14 Disember, 2011: - KARYAWAN sastera dan penulis Melayu harus menjadi pemimpin pemikiran masyarakat terutamanya dalam dunia serba terbuka masa ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, ini kerana novel-novel sastera agung mampu mempengaruhi pemikiran pembaca serta membentuk ciri individu, masyarakat dan dunia sekelilingnya.

"Sejak zaman Pak Sako hingga sekarang, perjuangan kita membina masyarakat sebagai satu bangsa terulung tidak lekang dari dada pemimpin negara.

"Tidak ada maknanya kita mencapai kejayaan ekonomi jika kita miskin budaya. Pembangunan budaya yang tinggi mampu menjadi pemangkin minda cendekiawan.

"Ia sekali gus menyokong penuh hasrat kerajaan membina negara yang berekonomi dan bertamadun tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan penyampaian hadiah dan pelancaran buku Hadiah Sako 3 anjuran bersama Kumpulan Utusan dan Institut Terjemahan Negara 2011 di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi ITNM, Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak; Pengarah Eksekutif, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UPND), Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar dan Pengarah Urusan ITNM, Mohd. Khair Ngadiron.

Ahmad Husni berkata, beliau yakin hasil-hasil karya yang dicetuskan menerusi Hadiah Sako akan menjadi warisan korpus sastera Melayu abad ke-21 yang melangkaui zaman perjuangan kemerdekaan sehingga ke era revolusi industri ketiga yang berlaku sekarang.

Sayembara tersebut, katanya, amat penting sebagai cahaya bagi menerangi dunia kesasterawanan dan penulisan Melayu.

"Limpah hasilnya bukan sahaja menerangi dunia sastera kita tetapi juga sebagai tiang seri pembentukan minda rakyat Malaysia keseluruhannya," jelasnya.

Hasil-hasil penulisan Pak Sako atau Ishak Haji Mohamad serta rakan seperjuangan juga, kata beliau, merupakan pemangkin kebangkitan semangat, budaya dan tamadun Melayu untuk berdiri di atas kaki sendiri tanpa dibelenggu sentimen ketidakmampuan dan rendah diri di bawah penjajahan British.

Dalam pada itu, Ahmad Husni berkata, pihaknya berharap akan menerima kertas cadangan mengenai dana khas bagi penerbitan dan terjemahan buku daripada ITNM bagi diberi pertimbangan sewajarnya.

"Ia penting bagi memberi semangat persaingan antara penulis karya tempatan," katanya.

No comments:

Post a Comment