My Add

Wednesday 14 December 2011

Dr. Anwar Ridhwan pemenang utama

KUALA LUMPUR, RABU, 14 Disember, 2011:
KARYA Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan berjudul Penyeberang Sempadan diangkat sebagai pemenang utama Hadiah Sako 3 anjuran bersama Kumpulan Utusan dan Institut Terjemahan Negara (ITNM) 2011.

Kemenangan itu membolehkan Anwar atau nama sebenarnya Mohd. Anuar Rethwan, 62, menerima wang tunai RM30,000 serta sijil penghargaan.

Tempat kedua dimenangi oleh Abd. Rahman Yusuf menerusi karya Tak Seindah Impian yang menerima wang RM15,000 manakala Mohd. Khaidir Ahmad dengan karyanya, Khuluk di tempat ketiga yang membawa pulang hadiah RM5,000.

Hadiah penghargaan yang menawarkan wang RM1,000 diterima oleh Ali Jusoh dan Aminah Mokhtar bagi karya Alor Miang dan Ratap Rabitah.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang turut melancarkan buku Hadiah Sako 3, lapor WANDA IDRIS.

Hadir sama, Pengerusi ITNM, Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Raslin Abu Bakar, Pengarah Eksekutif, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UPND), Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar, Pengarah Urusan ITNM, Mohd. Khair Ngadiron.

Tahun ini, sebanyak 40 manuskrip telah diterima sebelum panel penilai memilih lima karya terbaik untuk disenarai pendek yang menampilkan persoalan perjuangan berlandaskan sejarah tanah air, kemerdekaan dan pasca merdeka.

Anugerah Hadiah Sako 3 bagi Novel Nasional merupakan kesinambungan daripada dua sayembara yang diperkenalkan sejak 1992 oleh Kumpulan Utusan.

Tahun ini, buat julung kalinya ia dianjurkan bersama ITNM dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Sementara itu, Anwar Ridhwan ketika ditemui berkata, novel tersebut ditulis dalam tempoh setahun tiga bulan termasuk bagi kerja-kerja menyemak dan meneliti bahan.

"Saya gembira dengan kemenangan ini kerana Pak Sako orangnya hebat dan wajar saya merealisasikan karya yang sesuai dengan kehebatan beliau," katanya.

Dekan Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu berkata, naskhah tersebut didedikasikan kepada pejuang kemerdekaan yang tidak didendang.

Penyeberang Sempadan menceritakan tentang seorang pemuda yang menuntut bela atas kematian bapanya akibat ditahan dalam lokap sebelum perang.

Dalam perjuangannya, beliau turut menuntut kemerdekaan dan mengembara merentasi sempadan dan ideologi serta akhirnya disedarkan tentang kehebatan serta kekuatan Islam.

No comments:

Post a Comment