My Add

Friday 23 December 2011

Kastam patahkan dua cubaan seludup dadah di KLIA

SEPANG, JUMAAT, 23 Disember, 2011: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya mematahkan dua cubaan menyeludup dadah seberat 4.15 kilogram yang bernilai RM1.037 juta.

Pengarah Kastam KLIA, Datuk M Govinden, berkata wanita Kemboja, 39, dan pelajar Nigeria, 26, ditahan di Terminal Utama KLIA pada 4.30 pagi dan 6 petang pada Rabu lalu.

"Ini adalah kali pertama warga Kemboja ditahan kerana cuba menyeludup dadah di KLIA," katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam tangkapan pertama pada 4.30 pagi, Govinden berkata wanita Kemboja yang menaiki pesawat dari Dhaka-Kuala Lumpur menyembunyikan dadah seberat 3.1 kg bernilai RM775,000 dalam beg bagasi tarik yang direka khas untuk menyorokkan dadah berkenaan.

Semasa pemeriksaan, beliau berkata pegawai Bahagian Penguatkuasaan JKDM turut menemui dua 'kasut wedges' yang mana apabila dikopek didapati tersorok satu bungkusan dadah jenis Methamphetamine (syabu).

Dalam tangkapan kedua pada 6 petang, Govinden berkata JKDM menahan seorang lelaki Nigeria yang ditawar belajar Bahasa Inggeris selama setahun di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur. 

Beliau berkata, pelajar yang menaiki pesawat dari Lagos-Doha-Kuala Lumpur itu cuba menyeludup dadah jenis Methamphetamine (syabu) seberat 3.1 kilogram dalam beg bagasi tariknya.

"Bagasi milik pelajar itu didapati meragukan ketika diimbas. Apabila pemeriksaan dilakukan, kami mendapati terdapat satu ruangan rahsia yang direka khusus dan selepas dibuka dan diperiksa, kami mendapati 1.05 kilogram dadah jenis Methamphetamine (Syabu) bernilai RM262,500," katanya.

"Pelajar itu ditawar belajar selama setahun di sini namun tiket penerbangan balik ialah Isnin depan (26 Disember). Suspek mengambil kesempatan berkenaan untuk terbabit dalam penyeludupan dadah di sini," katanya.

Pada tahun ini, Govinden berkata JKDM KLIA berjaya mematahkan 41 kes penyeludupan dadah membabitkan 200 kilogram dadah bernilai RM40 juta dan menahan 23 individu, termasuk tiga wanita. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment