My Add

Thursday 15 December 2011

Kebakaran:Jangan buat spekulasi

SAMARAHAN, KHAMIS, 15 Disember, 2011:
POLIS meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kebakaran Ibu Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Jalan Central semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mortadza Nazarene berkata, berdasarkan laporan yang dibuat Jabatan Bomba dan Penyelamat, tiada unsur khianat atau perkara meragukan ditemui dalam siasatan kes kebakaran itu setakat ini.

Bagaimanapun, katanya, siasatan terhadap kejadian tersebut masih dijalankan secara terperinci melibatkan semua aspek.

Malah, katanya, polis akan mengambil keterangan beberapa pihak termasuk bekas Timbalan Setiausaha Agung SUPP, Datuk Seri Wong Soon Koh bagi membantu siasatan.

"Pihak bomba adalah pakar dalam kes ini dan mereka setakat ini menyatakan tidak ada unsur-unsur mencurigakan atau khianat ditemui di tempat kejadian.

"Untuk itu, saya harap jangan membuat sebarang andaian atau spekulasi mengenai kejadian ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian semalam.

Beliau mengulas perkembangan siasatan kes kebakaran yang memusnahkan bilik mesyuarat utama di tingkat bawah Ibu Pejabat SUPP yang sebelum ini dikaitkan dengan perbuatan khianat.

Terdahulu, Mortadza melancarkan Ops Sikap peringkat negeri sempena sambutan Hari Krismas dengan simbolik menunggang motosikal berkuasa besar dari Pusat Latihan Polis (Pulapol) Sarawak di Puncak Borneo ke IPD Serian.

Dalam pada itu, Mortadza menjelaskan, polis akan mengambil keterangan Soon Koh sebagai maklumat siasatan selepas beliau mengeluarkan kenyataan bahawa kejadian tersebut kemungkinan disebabkan unsur khianat

Mengenai pelancaran Ops Sikap pula, beliau berharap orang ramai mematuhi peraturan jalan raya serta tidak meletakkan kenderaan yang menghalang lalu lintas terutamanya pada malam sambutan Krismas di jalan-jalan utama berhampiran dengan gereja bagi mengelak berlaku kemalangan. - UM

No comments:

Post a Comment