My Add

Thursday 15 December 2011

Suwaibah sudah sedia dari aspek mental, fizikal


KUALA LUMPUR, KHAMIS, 15 Disember, 2011: Meskipun masih mempunyai masa kira-kira tiga bulan lagi, Suwaibah Muhammad Nasir, 38, menegaskan beliau sudah bersedia sepenuhnya dari sudut mental dan fizikal untuk memulakan misi menawan Gurun Sahara.

Bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu berkata, segala persiapan menjelang misi larian 1,111 kilometer itu juga berjalan lancar meskipun dalam keadaan cuaca yang tidak begitu baik.

"Dengan keadaan cuaca yang hujan setiap hari, jadual latihan saya juga terpaksa berubah.

"Namun ini tidak menjadi penghalang kepada saya untuk meneruskan latihan rapi dengan bantuan jurulatih Sarjan (B), Siti Rohani Chee Mee," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Suwaibah akan memulakan misi menawan Gurun Sahara selama 35 hari bermula 21 Mac hingga 24 April tahun hadapan dalam usaha memahatkan nama selaku wanita pertama berbuat demikian.

Misi yang diberi nama Sailing the Sand of Sahara itu juga bertujuan mengumpul dana bagi membantu rakyat Palestin menerusi penjualan Dinar Emas Larian Sahara 2012 yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, semalam.

Mengikut perancangan asal, misi yang bermula dari Empangan Mohamed Sedky Sleman, Aswan dan tamat di laluan Port Said Rafaj, Mesir itu sepatutnya berlangsung pada 11 November lalu, namun terpaksa ditunda ke tahun hadapan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Menurut Suwaibah, ekoran pertukaran tarikh itu juga, beliau dijangka perlu menempuh cuaca yang lebih panas.

Justeru, kata beliau, latihan yang dilakukan ketika ini lebih tertumpu kepada aspek kekuatan tenaga bagi memastikan beliau mampu mengekalkan stamina dalam keadaan cuaca yang lebih mencabar tersebut. 

No comments:

Post a Comment