My Add

Saturday 10 December 2011

Kelantan tidak layak digelar Serambi Mekah

KUALA LUMPUR, SABTU, 10 Disember, 2011:
KELANTAN tidak layak digelar negeri 'Serambi Mekah' jika aspek pembangunan masjid sebagai pusat penyebaran Islam terpenting tidak dititikberatkan.

Presiden Himpunan Siswazah Kelantan (Himsak), Mohd. Faizal Daud berkata, kegagalan itu bukan sahaja dilihat dari segi pembinaan masjid, malah, pemeliharaan dan pemuliharaan tempat ibadat itu turut diabaikan.

Katanya, hampir keseluruhan masjid termasuk surau di negeri itu tidak mempunyai kemudahan mencukupi dan apa yang lebih mendukacitakan adalah soal kebersihan langsung tidak diutamakan.

''Masjid sebagai tempat beribadat sepatutnya sentiasa dijaga daripada semua aspek termasuk kebersihan kerana Islam sendiri mementingkan kebersihan.

''Tetapi perkara itu tidak diutamakan oleh kerajaan Pas Kelantan kerana hampir setiap masjid di negeri itu boleh dikategorikan kotor apabila tandasnya kotor, kawasan sekelilingnya tidak dijaga, malah, tidak ada kemudahan lengkap untuk beribadat dengan selesa,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas pengakuan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Abdul Fatah Harun bahawa kerajaan negeri hanya membina sebuah masjid daripada wang sendiri sejak mentadbir lebih 20 tahun lepas.

Mohd. Faizal berkata, rakyat Kelantan perlu sedar bahawa Pas hanya beretorik dengan membawa imej Islam dalam pemerintahan dan pentadbiran mereka bagi mengaburi mata rakyat negeri itu.

''Ini menunjukkan mereka bukan sahaja gagal membawa pembangunan di Kelantan tetapi soal penyebaran agama juga mereka gagal. Justeru, adakah layak digelar Serambi Mekah?,'' katanya.

Dalam pada itu, bekas aktivis Pas, Datuk Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, Masjid Jubli Emas atau dikenali Masjid China yang menjadi satu-satunya kebanggaan Pas itu sebenarnya tidak dibina bagi kepentingan rakyat semata-mata.

Katanya, pembinaannya adalah demi kepentingan politik iaitu bagi membina hubungan ekonomi dengan China pada ketika itu.

''Majoriti rakyat Kelantan adalah Melayu Islam. Sepatutnya mereka membina sekurang-kurangnya sebuah masjid setiap penggal pemerintahan. Masjid di Kelantan sememangnya tidak cukup, jemaah melimpah ruah setiap kali solat Jumaat.

''Bagaimanapun, Kerajaan Pas Kelantan tidak melihat keperluan ini. Mereka hanya tahu bercakap tetapi tidak buat,'' katanya. - UM

No comments:

Post a Comment