My Add

Thursday 15 December 2011

Jalur lebar boleh promosi produk pelancongan luar bandar

SERIAN, KHAMIS, 15 Disember, 2011: 
MASYARAKAT di kawasan luar bandar yang memperoleh kemudahan jalur lebar perlu menggunakan kemudahan tersebut sebaik mungkin termasuk mempromosikan produk dan potensi pelancongan di kawasan masing-masing kepada dunia luar. 

Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr James Dawos Mamit, berkata industri pelancongan negara yang semakin berkembang pesat ketika ini seharusnya turut memberi faedah kepada rakyat di kawasan luar bandar yang kaya dengan pelbagai hasil dan produk pelancongan yang masih belum didedahkan kepada pelancong asing dan tempatan.

"Dengan adanya kemudahan jalur lebar ini, gunalah ia sebaik mungkin untuk mempromosikan produk dan tempat menarik di kampung-kampung seperti dengan membina laman sesawang yang menarik selain menggunakan kemudahan itu untuk mendapatkan maklumat yang berguna," katanya ketika berucap pada majlis kampung tanpa wayar Kampung Baru Mawang di sini, hari ini.

Beliau berkata, kementerian bersedia membantu penduduk luar bandar mempromosikan produk pelancongan yang ada kerana ia antara langkah yang boleh membantu meningkatkan pendapatan rakyat.

Katanya, jika kemudahan yang disediakan kerajaan khasnya dalam pembangunan jalur lebar di kawasan luar bandar tidak dimanfaatkan sebaik mungkin, ia akan menjadi satu pembaziran kerana banyak wang sudah dilabur untuk tujuan itu.

Di Sarawak ketika ini terdapat 34 buah Pusat Jalur Lebar Kominiti, 26 buah Pusat Jalur Lebar dan 31 buah Pusat Jalur Lebar Mini manakala di bawah projek TIME 3 sebanyak 203 menara telekomunikasi yang dibina dijangka meningkatkan kadar liputan kepada 90 peratus kawasan di seluruh Sarawak.

Dalam pada itu, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia wilayah Sarawak, Ahmad Nor Hisham Mohd Yusof, berkata sebanyak 14,500 unit komputer riba 1Malaysia diagihkan bagi fasa pertama pengagihan manakala 60,000 unit bagi fasa kedua dan 107,400 lagi fasa ketiga. 

Katanya, perkhidmatan jalur lebar diiktiraf kerajaan sebagai salah satu faktor penyumbang yang penting kepada pembangunan ekonomi serta daya saing negara di pentas global.

"Rakyat di setiap lapisan menerima pakai internet dalam pelbagai aspek kehidupan mereka baik untuk komunikasi, pembelajaran atau mencari maklumat sehingga ada yang menganggapkannya sebagai keperluan asas di alaf baru," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment