My Add

Thursday 22 December 2011

Keputusan roboh Madrasah Salihiah muktamad – Azizan

ALOR SETAR, KHAMIS, 22 Disember, 2011: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sekali lagi menegaskan bahawa keputusan untuk merobohkan Madrasah Salihiah Kanchut bagi membina kompleks beli-belah adalah muktamad mengikut ketetapan Majlis Fatwa Negeri.

Kata beliau, tidak timbul lagi sebarang salah faham memandangkan persetujuan telah dicapai oleh kerajaan negeri dan pemaju untuk merobohkan madrasah itu.

“Kerajaan negeri telah bersetuju, jangan salah faham kerana kerajaan negeri dan pemaju telah bersetuju supaya bangunan yang paling akhir dirobohkan adalah madrasah tersebut setelah bangunan kompleks membeli-belah itu siap.

“Semua sudah selesai, memanglah dahulu Majlis Fatwa memutuskan agar bangunan tersebut tidak dirobohkan namun keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah pada Julai 2011 telah memindanya dan bangunan itu sudah dibenar untuk dirobohkan. Kita boleh bina bangunan di atas tapak madrasah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Darulaman, di sini semalam.

Beliau mengulas notis penangguhan mengosongkan bangunan madrasah tersebut di Jalan Tambang Badak dekat sini yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) kepada Jawatankuasa surau berkenaan baru-baru ini.

Pelbagai pihak termasuk jawatankuasa madrasah tersebut mengecam tindakan kerajaan negeri yang membenarkan madrasah berstatus tanah wakaf khas dan berusia 100 tahun itu dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan sebuah kompleks membeli-belah.

Dalam pada itu, menurut Azizan lagi, pihaknya turut mengarahkan MAIK memperoleh tapak baru bagi menggantikan Madrasah Salihiah tersebut.

“Perkara ini mengikut cadangan daripada Majlis Fatwa di mana pihak pemaju juga sudah memberikan sejumlah pampasan kepada MAIK untuk mencari tapak baru selain surau baru akan dibina dalam kompleks membeli belah ini.

“Saya sudah melihat pelan surau di dalam kompleks tersebut dan berpuas hati,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain kata Azizan, pihaknya berpuas hati dengan projek pembinaan kompleks beli-belah Aman Central yang dijangka siap mengikut jadual ditetapkan.

“Sekarang dalam peringkat untuk merobohkan bangunan lama. Nampaknya ada pembaharuan walaupun baru-baru ini ada pihak minta injunksi mahkamah supaya operasi pembinaannya dihentikan tetapi kini ditolak mahkamah.

“Kita berharap pembinaan bangunan baru akan dilakukan secepat mungkin dan mengubah suasana bandar ini,” katanya. - UM

No comments:

Post a Comment