My Add

Friday 23 December 2011

Kerajaan negeri urus bas awam

Oleh AMRAN MULUP
MELAKA, JUMAAT, 23 Disember, 2011: Kerajaan negeri akan mengambil alih pengurusan bas henti-henti jika kerajaan Pusat tidak meluluskan permohonan peruntukan RM36 juta daripada dana RM400 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantu syarikat bas terlibat yang kini menghadapi masalah kewangan dalam meneruskan operasi mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kerajaan negeri bercadang membuat pinjaman daripada bank tempatan bagi mengambil alih pengurusan bas henti-henti daripada syarikat yang mengendalikannya.

Menurutnya, pinjaman itu dibuat bagi membayar pampasan berjumlah RM7.2 juta yang dituntut oleh pemilik syarikat bas jika kerajaan negeri bersetuju menguruskan perkhidmatan bas henti-henti.

Beliau berkata, sebahagian daripada pinjaman tersebut juga akan digunakan untuk membeli bas baru bagi menggantikan sebanyak 110 bas yang telah usang dan tidak selesa untuk digunakan.

''Ini adalah pilihan kedua jika kerajaan Pusat tidak meluluskan peruntukan sebanyak RM36 juta yang sebelum ini telah dipohon dan apabila Perdana Menteri mengumumkan dana terbaru itu, saya harap permohonan kita mendapat kelulusan.

''Peruntukan ini amat penting untuk membantu syarikat-syarikat bas menggantikan 110 buah bas yang telah usang dan berusia lebih 15 tahun," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis Angkat Sumpah pelantikan Datuk Bandar, Yang Dipertua dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini semalam.

Mohd. Ali berkata, rundingan awal antara kerajaan negeri dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang telah diamanahkan untuk menguruskan dana tersebut telah diadakan di Seri Bendahara semalam.

Menurutnya, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar telah memberi jaminan permohonan itu akan dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum ia dikemukakan kepada Kerajaan Pusat untuk mendapat kelulusan. - UM

No comments:

Post a Comment