My Add

Friday 23 December 2011

Acryl Sani ketuai senarai pertukaran, kenaikan 31 pegawai PDRM

Acryl Sani Abdullah Sani
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 23 Disember, 2011: Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Siasatan/Perundangan Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani akan memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baru berkuat kuasa Isnin lalu.

Beliau yang mendahului senarai pertukaran dan kenaikan pangkat 31 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menggantikan Datuk Mortadza Nazarene yang dilantik memegang jawatan Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, baru-baru ini.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Ketua Penolong Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Haris Wong Abdullah pula dinaikkan ke Timbalan Pengarah di jabatan sama dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP).

"Juru iring kepada Yang di-Pertuan Agong, Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Ismail pula kekal di jawatan sama dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).

"Sementara itu, ACP Hardev Singh Pritam Singh dari PT E4C Cawangan Khas (SB) Bukit Aman pula akan dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Keurusetiaan SB Bukit Aman, dengan memangku pangkat SAC," ujar kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, seorang lagi pegawai PT E2A SB Bukit Aman, ACP Ibrahim Zakaria pula akan bertukar ke Sarawak sebagai Ketua SB dengan memangku pangkat SAC.

"ACP Sivanatham a/l Ganasambanther yang memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah E1B SB Bukit Aman kekal di jawatan sama dengan memangku pangkat SAC.

"Penolong Pengarah Risikan Zon 1, JSJN Bukit Aman, ACP Zakaria Sudin pula menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah (Risikan Operasi) JSJN Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC," ujar kenyataan itu lagi.

Ujar kenyataan tersebut, selain itu, Supritendan Unit Pengajian Siasatan Jenayah Maktab PDRM Kuala Lumpur, Supritendan Yahaya Ramli pula akan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya sebagai Ketua Polis Daerah dengan memangku pangkat ACP.

Beliau menggantikan Allahyarham ACP Zainal Rashid yang meninggal dunia akibat sakit jantung Oktober lalu. - UM

No comments:

Post a Comment