My Add

Sunday 18 December 2011

Kerajaan sedia dana RM8 juta untuk francais

BERA, AHAD, 18 Disember, 2011: Kerajaan memperuntukkan dana berjumlah RM8 juta sebagai pinjaman kepada usahawan untuk menjalankan perniagaan francais. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dana berkenaan bertujuan membolehkan lebih ramai rakyat terutamanya golongan muda menyertai bidang perniagaan francais.

"Sehingga ini sebanyak RM1 juta pinjaman diluluskan kepada 60 usahawan bagi menjalankan perniagaan francis di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Francais Malaysia di Kerayong dekat sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pinjaman diberikan antara RM10,000 hingga RM50,000 dengan syarat usahawan terbabit mendapat perakuan daripada pihak francaisor terlebih dulu. 

Beliau berkata, kerajaan mensasarkan seramai 200 lagi usahawan akan diberikan baki pinjaman dana berkenaan. 

"Kita amat berharap lebih ramai golongan muda dan peniaga menyertai bidang perniagaan francais di masa akan datang kerana menjanjikan pulangan yang lumayan," katanya. 

Beliau berkata, sehingga ini seramai 5,315 francaisi didaftarkan dengan 576 francaisor yang mana sebahagian besarnya menjalankan perniagaan berasaskan makanan. 

Dalam perkembangan berkaitan Ismail Sabri berkata, Akta Francais akan dipinda tahun depan bagi membolehkan usahawan yang menjalankan perniagaan francais itu terjamin dan tidak dikenakan bayaran yang terlalu mahal oleh francaisor. 

"Walaupun pada masa kini usahawan kecil francais menjalankan perniagaan secara baik dengan segala kemudahan termasuk pengiklanan disediakan, namun ada sesetengah francaisor mengenakan caj bayaran yang mahal kepada mereka," katanya. 

Katanya, pindaan akta tersebut yang akan dibentangkan di Parlimen pada Mac depan dilihat akan lebih menjamin usahawan terbabit. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment