KUALA NERANG, AHAD, 18 Disember, 2011: Cubaan seorang wanita Thailand untuk menyeludup keluar 580 liter minyak diesel dengan menggunakan sebuah kereta gagal selepas ditumpaskan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Gubir pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Terap, Asisten Superintendan Chang Kut Choy, berkata wanita berusia 27 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.30 pagi di Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) Durian Burung, Padang Terap dekat sini untuk pemeriksaan.
Katanya, ketika ditahan wanita terbabit cuba melarikan diri namun gagal selepas ditahan semula oleh pihak tentera yang bertugas.
Katanya, pihak tentera sudah melakukan intipan selama beberapa hari terhadap
wanita itu yang setiap hari keluar masuk ke negara ini dengan menggunakan kereta yang sama.
Difahamkan, wanita itu terbabit dengan satu sindiket yang sebelum ini
menggunakan kenderaan jenis pikap untuk menyeludup minyak diesel tetapi mereka menggunakan kereta bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Tinjauan mendapati dalam kereta terbabit diletakkan tangki tambahan pada
tempat duduk belakang dan di bahagian but belakang dalam keadaan terbuka.
Kes tersebut diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment