My Add

Thursday 15 December 2011

Khidmant kesihatan bergerak ke pulau berhampiran disaran

SEMPORNA, KHAMIS, 15 Disember, 2011: MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyarankan supaya Hospital Semporna menyediakan perkhidmatan kesihatan bergerak di pulau yang jauh dari tanah besar Semporna agar penduduk pulau berkenaan dapat menikmati perkhidmatan kesihatan lebih baik. 

Beliau berkata, masih ramai penduduk pulau di daerah itu yang tidak berpeluang memperoleh khidmat kesihatan lebih baik kerana faktor jarak dan ekonomi.

Katanya, dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini, kerajaan bersetuju memberi insentif tertentu kepada doktor pakar yang ditempatkan di hospital luar bandar untuk menggalakkan mereka bertugas lebih lama di hospital berkenaan.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program berkhatan beramai-ramai anjuran UMNO Semporna dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah di sini, hari ini. 

Pada majlis itu, lebih 400 kanak-kanak dikhatankan secara percuma sempena cuti persekolahan ini. 

Shafie, yang juga Anggota Parlimen Semporna, gembira dengan kemajuan yang dicapai Hospital Semporna daripada segi kemudahan dan kakitangan untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat daerah itu. 

Beliau berkata, jika dulu kemudahan di hospital berkenaan termasuk katil pesakit begitu terhad manakala doktornya pula cuma seorang namun masalah itu sudah dan sedang diatasi secara berperingkat. 

Difahamkan doktor di Hospital Semporna kini berjumlah 11 orang, termasuk seorang doktor pakar dan jumlah katil pula bertambah sejak lima tahun lalu melalui pembinaan sebuah blok hospital baru bernilai RM20 juta. 

"Saya memohon kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai supaya Hospital Semporna bukan saja dibekalkan dengan prasarana mencukupi tetapi juga penempatan doktor pakar di hospital luar bandar itu juga ditambah supaya kesihatan masyarakat luar bandar sentiasa terpelihara. 

"Jika tidak, mereka terpaksa berulang alik dalam jarak yang jauh ke hospital yang ada sistem perubatan yang lengkap. Kalau pergi ke hospital swasta pula mereka terpaksa menampung perbelanjaan besar," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment