My Add

Tuesday, 20 December 2011

Korea Utara diharap berusaha ke arah keamanan - Anifah

KUALA LUMPUR, SELASA, 20 Disember, 2011: Malaysia amat berharap agar pucuk pimpinan baru kerajaan Korea Utara akan terus berusaha demi mencapai keamanan dan kestabilan di Semenanjung Korea, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata, Kuala Lumpur juga berharap semua pihak akan bekerjasama dalam memastikan keamanan dan kestabilan yang berterusan di Semenanjung Korea.

"Malaysia percaya bahawa kestabilan di Semenanjung Korea adalah penting bagi keamanan serantau, keselamatan dan pembangunan ekonomi,” katanya dalam kenyataan berhubung kematian Pemimpin Korea Utara Kim Jong-il pada pagi Sabtu lepas.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada kerajaan dan rakyat Korea Utara atas kematian Jong-il.

Pengumuman rasmi media Korea Utara menyatakan bahawa Kim meninggal dunia akibat serangan jantung pada Sabtu lepas ketika berusia 69 tahun.

Media Korea Utara turut menyatakan anak lelaki bongsu Kim yang juga pewarisnya, Jong-un yang berusia lewat 20-an kini mengambil alih tonggak pemerintahan negara, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Walaupun Perang Korea tamat pada 1953 tetapi secara teknikalnya Korea Utara dan Korea Selatan masih berperang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment