My Add

Tuesday 20 December 2011

SPRM tahan 5 pegawai penguatkuasa di Kedah

ALOR SETAR, SELASA, 20 Disember, 2011: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya menahan lima pegawai penguatkuasa beberapa agensi kerajaan di Kedah bagi membantu siasatan kes penyelewengan minyak bersubsidi. 

Penolong Pesuruhjaya SPRM Putrajaya, Mustafa Kamal, berkata semua mereka yang berusia 32 hingga 54 tahun ditahan di lokasi berasingan dalam satu operasi khas di negeri ini hari ini.

"Mereka ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kesalahan menerima rasuah iaitu tidak mengambil tindakan terhadap pemilik premis yang menjual minyak secara haram.
"Operasi bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ini juga mengesan sebuah premis di Pulau Pinang yang menyimpan minyak tanpa lesen yang sah," katanya pada sidang media di pejabat SPRM Kedah di sini hari ini. 

Mustafa berkata, SPRM mendapati pemilik premis tidak menyediakan buku stok seperti yang disyaratkan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan mengesan 21,000 liter minyak diesel dan 80,000 liter diesel di premis berkenaan. 

"Dipercayai perkara ini berlaku kerana kurangnya kawalan daripada agensi-agensi terbabit dan operasi hari ini adalah hasil intipan kita selama empat bulan," katanya. 

Mustafa berkata, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment