My Add

Saturday 10 December 2011

KR1M bukan mahu monopoli pasaran produk murah

BERA, SABTU, 10 Disember, 2011:
KEDAI Rakyat 1Malaysia (KR1M) diwujudkan bukan untuk memonopoli pasaran barangan pengguna yang berharga rendah tetapi sebagai penanda aras bagi syarikat-syarikat lain melakukan perkara yang sama supaya lebih kompetitif.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha kementerian mewujudkan KR1M dilihat boleh mewujudkan persaingan secara sihat dengan syarikat lain dalam memberikan faedah kepada rakyat dengan penawaran produk pada harga lebih rendah.

"KR1M bukan untuk memonopoli produk tiada jenama tetapi supaya lebih banyak syarikat lain bersaing dengan mengeluarkan produk sama dan dengan cara itu harga lebih murah dapat ditawarkan kepada pengguna,” katanya kepada pemberita di majlis penyampaian sumbangan program Jalinan Murni di sini, hari ini.

Beliau berkata, syarikat-syarikat produk lain di pasaran kini sudah berlumba-lumba menurunkan harga barangan mereka sejak KR1M diwujudkan dan perkara itu dilihat sebagai sesuatu yang positif.

"Selepas ini, kita harap lebih banyak lagi syarikat pengeluar lain mengeluarkan produk yang tiada jenama dengan tawaran harga lebih murah seperti yang dilakukan oleh syarikat Mydin,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment