My Add

Wednesday 14 December 2011

Kuasa menyemak prima facie: Usaha warga asing gagal

PUTRAJAYA, rabu, 14 DisEMBER, 2011:
LIMA tertuduh kes pengedaran dadah antarabangsa termasuk tiga warganegara Mexico gagal dalam usaha untuk mendapat perisytiharan agar hakim yang sedang membicarakan kes itu mempunyai kuasa menyemak keputusan prima facie yang beliau putuskan terhadap mereka.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak petisyen mereka selepas membenarkan bantahan awal Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Bache dan mendengar hujahan peguam Kamarul Hisham Kamarudin.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif dan Hakim Datuk Ahmad Maarop.

Panel itu berpuas hati bahawa ia tiada kuasa mendengar permohonan tersebut dan seterusnya membenarkan perisytiharan yang dimohon kerana permohonan berkenaan merupakan tindakan pramatang dan penyalahgunaan proses mahkamah.

NORLIZAH ABAS melaporkan, keputusan tersebut penting kerana jika dibenarkan, ia bakal menjadi nas undang-undang yang memberi kuasa kepada hakim bicara menyemak keputusannya sendiri berhubung pembuktian kes prima facie terhadap tertuduh.

Kelima-lima mereka terdiri daripada warga Singapura, Lim Hung Wang, 55; dan rakyat tempatan, Lee Boon Siah, 47; serta tiga adik-beradik dari Mexico, Jose Regino Gonzalez Villareal, 32; Simon Gonzalez Villareal, 35; dan Luis Alfonso Gonzalez Villareal, 43.

Mereka didakwa mengedar dadah methamphetamine seberat 29,460 gram pada pukul 3.15 petang, 2 Mac 2008 di sebuah kilang di Taman Perindustrian Senai, Jalan Desa Idaman 1/5, Senai, Johor Bahru, Johor. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment