My Add

Tuesday 20 December 2011

Lebih banyak produk, perkhidmatan 1Malaysia diwujudkan

KUALA LUMPUR, SELASA, 20 Disember, 2011: Lebih banyak produk dan perkhidmatan bersifat 1Malaysia akan dibangunkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk rakyat sebagai membuktikan bahawa gagasan itu bukan satu falsafah semata-mata, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, rakyat pada hari ini menghargai sumbangan kerajaan dan ini diluahkan melalui pelbagai medium.

“Kita boleh senaraikan Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia (sebagai perkhidmatan yang disediakan),” katanya semasa berucap pada majlis pemberian dekoder Astro secara percuma untuk pakej “njoi”, di Projek Perumahan Rakyat Cochrane Perkasa di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum.

Menyentuh pemberian dekoder Astro itu, Najib berkata: “Kita akan perbanyakkan lagi produk seperti ini. Biarlah kita gunakan perkhidmatan ini untuk kebaikan kita semoga rakyat Malaysia akan terhibur selain mendapat maklumat terkini.”

Najib menarik perhatian bahawa dunia kini memihak kepada golongan yang mempunyai akses kepada maklumat.

“Mana-mana kumpulan masyarakat yang terpinggir daripada akses pengetahuan

“real time”, mereka berada dalam keadaan “disadvantaged” dan akan gagal bersaing dalam dunia hari ini,” jelas Perdana Menteri.

Beliau berkata kerajaan tidak mahu rakyat kurang berkemampuan terus tertinggal dalam memperoleh pengetahuan, dan siaran “njoi” itu direka untuk memberi pengetahuan, hiburan dan pendidikan kepada 50,000 keluarga termasuk penduduk di Sarawak dan Sabah.

“Yang saya amat tertarik hati dengan langkah Astro ini ialah kerana dalam memberi akses kepada 37 saluran televisyen dan radio, pihak pengguna akan dapat saluran yang menyediakan program bersifat hiburan dan di samping itu, ada beberapa saluran yang menyediakan kandungan bercorak pendidikan, terutama sekali kepada anak-anak di bangku sekolah,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment