My Add

Tuesday 20 December 2011

Usul pemansuhan tiga Proklamasi Darurat diluluskan

KUALA LUMPUR, SELASA, 20 Disember, 2011: Dewan Negara hari ini meluluskan usul pemansuhan Proklamasi Darurat 1966, 1969 dan 1977.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Viu Keong ketika membentangkan usul itu berkata, proklamasi itu diungkaikan kerana tidak wujud lagi keadaan yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam di negara ini pada masa kini.

Dengan itu, apa-apa ordinan yang dibuat semasa Proklamasi Darurat tersebut akan terhenti berkuatkuasa selepas habis tempoh enam bulan dari tarikh proklamasi itu dibatalkan, katanya pada persidangan Dewan Negara.

Katanya, langkah sewajarnya perlu diambil bagi memastikan tidak timbul kesukaran atau apa-apa halangan kepada kerajaan untuk mengawal jenayah dan perkara-perkara yang boleh menyebabkan ancaman terhadap keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam termasuklah kegiatan keganasan apabila terhentinya kuatkuasa semua ordinan di bawah Proklamasi Darurat itu.

"Dengan terungkainya Proklamasi Darurat tersebut, kerajaan tidak lagi mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment