My Add

Saturday, 17 December 2011

Maghribi minat kerjasama bidang automotif, perbankan Islam

RABAT, SABTU, 17 Disember, 2011:Maghribi menyatakan minatnya untuk menjalinkan kerjasama dengan Malaysia dalam bidang automotif dan sistem perbankan Islam untuk menjana ekonomi serta menjadi hab perdagangan rantau Afrika.

Duta Malaysia ke Maghribi, Jamal Hassan berkata, kerjasama dalam bidang automotif itu melibatkan dengan syarikat pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Berhad (Proton).

"Ini menjadi indikasi bahawa kerajaan baru Maghribi kini dalam proses untuk menarik lebih banyak pelaburan ke negara ini," katanya ketika menemui sekumpulan usahawan bumiputera Malaysia di pejabatnya di sini semalam.

Usahawan tersebut berada di sini untuk menyertai Program Minggu 1Malaysia Best yang berlangsung di pasar raya Aswak Assalam bermula semalam dan berakhir pada Selasa ini.

Utusan Malaysia difahamkan, kerajaan baru negara ini yang akan dibentuk menerusi pembentukan Kabinet pada akhir tahun ini berminat untuk mewujudkan kilang pemasangan kereta keluaran Proton dan usaha sedang dijalankan ke arah itu.

Jamal memberitahu, setakat ini tidak ada bank di Maghribi yang menyediakan sistem perbankan Islam dan ini menyebabkan penduduk tempatan lebih suka menyimpan wang di rumah kerana tidak mahu melibatkan dengan unsur riba menerusi sistem perbankan konvensional sedia ada.

Pada hari pertama berlangsungnya program ini, sambutan daripada penduduk tempatan menggalakkan sekali gus memberi harapan cerah untuk produk usahawan bumiputera Malaysia menembusi pasaran di negara ini dan menjadi pintu masuk kepada pasaran global.

Sejajar dengan itu juga, Jamal berharap, usaha murni itu perlu dibuat susulan supaya persepsi dan reputasi produk Malaysia terus diyakini.

"Kita mesti ambil peluang ini dan perlu ada susulan dari segi promosi, pembungkusan dan kajian pendapat terhadap produk usahawan Malaysia selepas berakhirnya program ini," ujarnya.

Sehubungan itu, satu tabung khas perlu diwujudkan supaya ia dapat digunakan untuk program-program susulan termasuk menempatkan seorang wakil dari Malaysia untuk ditempatkan di pasar raya Aswak Assalam untuk menguruskan segala aktiviti termasuk tempahan produk.

Menurut Jamal, tabung khas itu boleh diadakan menerusi peruntukan daripada pelbagai agensi kerajaan berkaitan usahawan di Malaysia.

Beliau menambah, pasar raya Aswak Assalam mempunyai 16 cawangan di seluruh Maghribi dan keperluan untuk menempatkan wakil Malaysia itu perlu bagi membuktikan keseriusan dan komitmen usahawan bumiputera terbabit untuk memasarkan produk mereka.

"Pihak kedutaan sedia membantu tetapi untuk menempatkan wakil perdagangan Malaysia di Maghribi melibatkan kos yang tinggi," katanya. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment