KUALA LUMPUR, RABU, 21 Disember, 2011: Polis telah menerima tiga laporan berhubung tindakan mahasiswa yang menurunkan bendera Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Sabtu lalu.
Ketiga-tiga laporan polis itu dibuat oleh tiga wakil mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang percaya ia dilakukan oleh seorang daripada pelajar universiti tersebut ketika menghantar memorandum bantahan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) kepada UMNO.
Wakil mahasiswa itu adalah Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan majlis Perwakilan Pelajar UPSI.
Menurut sumber, ketiga-tiga laporan polis berkenaan dibuat di Balai Polis Tanjung Malim sebelum ia diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut.
"Wakil pelajar berkenaan membuat laporan polis bagi mendesak tindakan tegas diambil terhadap mahasiswa terbabit kerana tindakan biadab yang dilakukan kepada Perdana Menteri.
"Malah mereka juga mendakwa mahasiswa terbabit juga bertanggungjawab mencemarkan nama baik UPSI dan pelajar lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sabtu lalu, peserta demonstrasi anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) bertindak menurunkan bendera Najib di pekarangan (PWTC) semasa menyerahkan memorandum bantahan berhubung AUKU kepada UMNO.
Perbuatan itu dipercayai dilakukan oleh Penyelaras Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli Abd. Halim, 23, yang juga mahasiswa UPSI. - UM
No comments:
Post a Comment